arena

Shaqiri pamer sengat

Oleh Reuters

CHICAGO: Liverpool menjaringkan tiga gol pada babak kedua ketika membelasah Manchester United 4-1 di Stadium Michigan yang menjadi perlawanan terakhir jelajah pramusim di Amerika Syarikat.

Xherdan Shaqiri menjaringkan gol pertama pada penampilan sulungnya bersama Liverpool menerusi sepakan gunting dan disaksikan 101,000 penyokong yang memenuhi setiap inci tempat duduk stadium berkenaan.

Shaqiri yang mewakili Switzerland di Piala Dunia adalah salah seorang daripada lima pemain yang baru dibeli Liverpool dalam usaha mereka untuk merapatkan jurang dengan juara Liga Perdana, Manchester City.

Kemenangan itu cukup manis buat Reds apatah lagi ia adalah perlawanan terakhir di Amerika Syarikat sebelum pulang ke Merseyside untuk menghadapi musim baru.

Sadio Mane menyempurnakan penalti untuk menghasilkan gol pertama Liverpool pada minit ke-28.

Pemain tengah Manchester United yang berusia 22 tahun, Andreas Pereira menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-31.

Tetapi skuad kendalian Juergen Klopp kembali mendahului pada babak kedua menerusi rembatan Daniel Sturridge pada minit ke-66.

Gol itu berpunca daripada Shaqiri, 26, yang memperdayakan beberapa pertahanan United sebelum membuat hantaran yang disudahkan Sturridge.

Sheyi Ojo menjaringkan gol ketiga pada minit ke-74 dan tiba giliran Shaqiri untuk berada dalam senarai penjaring menerusi gol menarik hasil hantaran Ben Woodburn.

Disiarkan pada: July 29, 2018 @ 9:29am
d