arena

Lang Merah tersungkur di laman sendiri

Oleh Izzali Ismail

 

KEDAH gagal dalam misi mencari kemenangan di laman sendiri apabila tewas 3-1 kepada PKNP FC dalam aksi terakhir Liga Super, malam ini.

Di awal permainan, kedua-dua pasukan tampil berhati-hati ketika menjana serangan, dengan beberapa percubaan menarik terhasil bermula dari minit ke-14 melalui pemain PKNP Fandi Ahmad, namun percubaannya melencong keluar.

PKNP berjaya mengejutkan Kedah dengan gol pembukaan Ritus Krjauklis pada minit ke-24, bermula dengan gerakan pantas dari sebelah kanan pintu gol Kedah menerusi Muhammad Ibnu Khozaimi.

Kedah terus menerima tekanan apabila PKNP berjaya menambah gol kedua pada minit ke-32 hasil dari sepakan sudut apabila bola ditanduk kemas pemain import PKNP Kim Sangwoo ke gawang Kedah.

Tiga minit sebelum babak pertama tamat, Kedah cuba bangkit menerusi Sandro Da Silva yang merembat kencang bola ke gawang PKNP, namun percubaannya terkena palang gol.

Bermula babak kedua, Kedah bangkit melancarkan asakan dan sepakan percuma pada minit ke-49 tidak disia-siakan Sandro Da Silva untuk merapatkan jurang.

Pemain muda Akhyar Rashid turut menggamatkan suasana pada minit ke-55, tetapi percubaannya tepat ke arah gol PKNP dan ditangkap kemas Syazani Mat Puat.

Kedah kembali tersentak apabila PKNP mendapat gol ketiga pada minit ke-63 menerusi Kim Sangwoo, sekali gus menyaksikan tuan rumah mengakhiri kempen Liga Super musim ini dengan kekalahan di laman sendiri.

 

Disiarkan pada: July 29, 2018 @ 11:17pm
d