arena

Hamilton teruskan dominasi

BUDAPEST: Pemandu Mercedes, Lewis Hamilton dibuai mimpi indah selepas menjuarai Grand Prix Hungary semalam sekali gus membuka jurang 24 mata di kedudukan teratas Formula Satu menjelang rehat bulan depan.

Kemenangan di Litar Hungaroring itu yang kelima buat pelumba Britain itu musim ini untuk mengutip keseluruhan 213 mata dengan pencabar utamanya dari Ferrari, Sebastian Vettel yang menamatkan saingan di tempat kedua mengumpul 189 mata.

“Saya memang mengimpikan untuk berada di posisi kami berada ketika ini,” kata juara dunia F1 empat kali itu.

“Saya benar-benar gembira, menuju tempoh rehat, terutama selepas meraih dua kemenangan berturut-turut.

“Saya fikir peningkatan ini akan bertahan lama dalam pasukan kami dan ia cukup menggalakkan buat semua orang jadi saya juga teruja untuk berehat.”

Vettel yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua, ketinggalan 17.1 saat turut mengalami kemalangan lewat bersama rakan sepasukan Hamilton, Valtteri Bottas yang turut merosakkan jentera pemandu Australia, Daniel Ricciardo dari Red Bull.

Ferrari yang masih berkabung atas kematian bekas pengerusi, Sergio Marchionne minggu lalu mempunyai alasan untuk berbangga apabila seorang lagi pelumbanya, Kimi Raikkonen melengkapkan kedudukan podium.

Kemenangan itu keenam diraih Hamilton di Hungary selain ke-67 sepanjang kariernya selepas dia tampak tidak mampu dicabar apabila memulakan perlumbaan di petak utama.

“Kami datang ke sini mengetahui Ferrari akan berlumba dengan cukup pantas untuk mendapatkan kembali semua mata dan kami menganggapnya sebagai bonus,” kata Hamilton.

“Saya cukup gembira dengan kekuatan kami dalam beberapa perlumbaan terakhir. Kami juga perlu kuat bagi mengharungi separuh lagi musim,” katanya yang memenangi GP Jerman minggu lalu sekalipun bermula dari petak ke-14.

Tempat keempat diisi Ricciardo yang memulakan perlumbaan di petak ke-12 manakala rakan sepasukannya, Max Verstappen gagal menamatkan saingan susulan kegagalan enjin Renault yang turut mencetus kemarahan bos pasukan, Christian Horner. - AFP

Disiarkan pada: July 30, 2018 @ 10:16am
d