arena

Leno sedia rebut tempat

Oleh Agensi

LONDON: Penjaga gol baharu Arsenal, Bernd Leno mengakui cukup mengagumi Petr Cech tetapi dia kini bersedia sepenuhnya untuk merebut jersi nombor satu daripada pemain veteran itu.

Dibeli Arsenal dengan harga £19.2 juta (RM102 juta) dari Bayer Leverkusen, Leno berkata, dia masih mengingati ‘pertembungan’ pertamanya dengan Cech pada aksi sulungnya di Liga Juara-Juara menentang Chelsea di Stamford Bridge pada 2011.

Sekalipun pasukannya tewas 0-2, Leno berkata, penjaga gol Republik Czech itu menunggunya di terowong stadium untuk memberi kata-kata perangsang.

“Saya benar-benar mengaguminya,” kata Leno. “Saya boleh mengingati perlawanan pertama saya menentang Petr dan Chelsea ketika saya berusia 19 tahun.

“Selepas perlawanan, dia datang kepada saya dan menyatakan ia perlawanan yang bagus buat saya. Ia tujuh tahun yang lalu dan kini kami bersama di Arsenal.

“Petr sudah mempunyai karier yang cukup besar dengan memenangi pelbagai trofi dan dia masih penjaga gol yang hebat dengan personaliti yang besar. Banyak yang akan saya pelajari dengannya setiap hari.

“Saya turut mempunyai pengalaman tapi dia jauh lebih banyak, jadi banyak yang saya boleh belajar daripadanya.”

Sambil mengakui permainannya turut dipengaruhi bekas penjaga gol Arsenal, Jens Lehmann, Leno berkata, dia cukup sedar kualiti Cech belum lagi pudar dan dia perlu bekerja keras untuk meraih kepercayaan pengurus, Unai Emery.

“Saya perlu melihat diri saya sendiri dan bekerja dengan amat keras untuk menjadi pilihan utama.

“Saya tidak tahu (siapa akan menjadi pilihan utama). Saya melakukan yang terbaik dan akhirnya jurulatih akan menentukannya,” kata pemain berusia 26 tahun itu yang mengakui sudah biasa dengan corak permainan Emery.

Disiarkan pada: July 30, 2018 @ 12:06pm
d