arena

Pogba... Old Lady rindukan awak!

Oleh Agensi

LONDON: Juara Itali, Juventus merancang sesuatu yang ‘sensasi’ untuk mendapatkan semula pemain tengahnya yang kini bersama Manchester United, Paul Pogba.

Kelab gergasi Serie A itu difahamkan sudah menghubungi wakil tonggak Perancis itu, Mino Raiola dan memberitahunya mereka sedang menilai segala kemungkinan untuk menandatangani semula pemain yang dijual kepada United dua tahun lalu dengan harga £89 juta (RM474.10 juta).

Dipercayai United mungkin akan mendengar tawaran Juventus berikutan hubungan kurang mesra Pogba dengan pengurus, Jose Mourinho yang menyaksikannya digugurkan daripada skuad utama musim lalu.

Berbanding memberi pujian kepada pemainnya itu yang menjulang Piala Dunia bersama Perancis, Mourinho mengambil peluang untuk memberitahu Pogba dia seharusnya mempamerkan persembahan yang sama dengan United.

“Saya tidak fikir ia mengenai bagaimana kami dapat menghasilkan persembahan terbaik daripadanya, ia mengenai dirinya memberikan yang terbaik dia perlu berikan,” kata pengurus dari Portugal itu.

Ia pastinya sesuatu difahami oleh Pogba yang ketika ini sedang bercuti di Amerika Syarikat dengan kepulangan semula ke Juventus tampak lebih mengujakan.

Juventus dikatakan bersedia untuk menjana dana dengan menjual tiga tonggak Miralem Pjanic, Gonzalo Higuain serta Daniele Rugani bagi menjadikannya kenyataan.

Kelab juara Itali itu dipercayai berdepan kekurangan dana selepas melakukan pembelian besar £85 juta (RM453 juta) untuk membawa bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo ke Stadium Allianz.

Tonggak Bosnia, Pjanic dipercayai diminati juara Inggeris, Manchester City manakala Higuain dan pertahanan berkualiti tinggi, Rugani difahamkan diminati Chelsea dengan semuanya bernilai ‘mega’.

Disiarkan pada: July 30, 2018 @ 12:57pm
d