arena

Dulu boleh, kenapa sekarang tak?

Oleh Rodly Fadly

KUALA LUMPUR: “Kalau dulu, dalam keadaan serba susah, kita boleh lahirkan pasukan bertaraf Olimpik, mengapa sekarang dengan segala kemudahan yang ada, kita gagal hingga hendak bergantung pula kepada pemain naturalisasi?”

Demikian pertanyaan dilontarkan oleh bekas penyerang kebangsaan, Syed Ahmad Syed Abu Bakar yang jelas tidak bersetuju dengan idea menggunakan pemain berstatus naturalisasi untuk mengubah nasib Harimau Malaya.

Syed Ahmad, antara wira yang membantu skuad kebangsaan memenangi pingat gangsa Sukan Asia Tehran 1974, yakin Malaysia masih mempunyai pemain berbakat yang boleh diharapkan untuk mengibarkan cabaran di pentas antarabangsa.

“Sebagai bekas pemain saya berasa malu bila dengar kita nak guna pemain asing untuk bantu skuad kebangsaan. Teruk sangatkah pemain kita sampai kena panggil orang lain untuk tolong?

“Saya sedar bila saya bercakap begini, orang akan kata saya kolot, ketinggalan zaman dan tidak mengikut arus semasa. Mereka kata pasukan hebat dunia pun guna pemain naturalisasi.

“Soalnya mengapa pula kita tidak mahu tiru Jepun dan Korea Selatan yang layak ke Piala Dunia tanpa pemain naturalisasi sedangkan dulu mereka adalah pasukan yang pernah kita tewaskan?” tanya Syed Ahmad.

Beliau berkata, situasi yang melanda bola sepak negara sekarang jelas menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem bola sepak dan menjadi tanggungjawab Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mengkaji serta memperbetulkannya.

“Saya yakin kita tidak ketandusan pemain, FAM kena buat kerja lebih sikitlah, tidak boleh nak cari jalan mudah dengan ambil pemain luar,” ujar Syed Ahmad.

Malah, beliau menempelak cadangan FAM mahu menghantar Timbalan Presiden, Datuk Mohd Yusoff Mahadi ke Brazil dan Cameroon untuk mengkaji penggunaan pemain naturalisasi.

“Bukankah lebih baik hantar pegawai FAM untuk mengkaji bagaimana Jepun dan Korea boleh berjaya. Saya rasa itu lebih berfaedah kerana berapa lama kita mahu bergantung kepada pemain naturalisasi, akhirnya kita kena mengharapkan pemain tempatan juga,” katanya.

Isu penggunaan pemain naturalisasi kembali hangat diperdebatkan selepas Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin baru-baru ini mendedahkan hasrat badan induk itu untuk memperkasakan skuad Harimau Malaya dengan membawa masuk pemain naturalisasi.

Berdasarkan undian dijalankan akhbar kumpulan NSTP, Harian Metro, Berita Harian dan New Straits Times, peminat ternyata menyokong cadangan ini kerana sudah bosan dengan kegagalan Harimau Malaya.

Disiarkan pada: July 30, 2018 @ 1:10pm
d