arena

'Tiada hal jatuh, janji podium'

Oleh Azlan Muhammad Zain

PELUMBA Yayasan CIMB-Junior Cycling Malaysia(CIMBF-JCM), Fakhruazam Hanifiah mempamerkan aksi cemerlang pada perlumbaan Ronde van Poeldijk di Belanda apabila berjaya meraih tempat ketiga hari ini.

Aksi memukau pelumba muda kelahiran Johor itu menjadi perhatian penggiat sukan berbasikal tempatan apabila dia terbabit dalam kemalangan di selekoh terakhir menuju ke garisan penamat namun bangkit meneruskan perlumbaan dan menamatkan saingan di tangga ketiga.

Fakhruazam berjaya melakukan pemecahan dari kelompok besar seawal pusingan kedua bersama dua pelumba lain hingga akhir perlumbaan.

Bagaimanapun di selekoh terakhir, Fakhruazam terjatuh susulan permukaan jalan yang licin akibat hujan.

Namun dia mempamerkan semangat kental apabila bangkit meneruskan kayuhan hingga ke garisan penamat.

“Perlumbaan hari ini amat mencabar dengan suhu mencecah 21 Celsius dan hujan. Permukaan jalan yang agak licin memaksa saya lebih berhati-hati. Namun, nasib tidak menyelebahi saya apabila terjatuh ketika di selekoh terakhir. Saya bangun dan teruskan perlumbaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Fakhruazam turut dibantu tiga rakan sepasukan iaitu Abdul Rashid Hisham, Iskandar Salim dan Nurfitri Ammar dalam menggalas cabaran perlumbaan.

Dia antara pelumba muda negara yang dihantar menyertai Jelajah Eropah 2018 bagi latihan dan pertandingan yang kini memasuki hari ke-11.

Disiarkan pada: July 30, 2018 @ 3:10pm
d