arena

'Tunggulah saya nanti!'

Oleh Helmi Talkah

JAGUH perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei berkata dia mahu kembali ke gelanggang secepat mungkin sebaik selesai menjalani rawatan susulan masalah kesihatan dialaminya.

Menerusi rakaman video yang dimuat naik di laman web Yonex Weibo sempena pelancaran model raket baharu Yonex, semalam, pemain nombor dua dunia itu berharap dapat bertemu semula rakan-rakan seperjuangan dalam arena badminton termasuk bintang sensasi China, Lin Dan.

Rakaman video itu adalah kemunculan pertama Chong Wei sejak dia disahkan menarik diri daripada Kejohanan Dunia yang sedang berlangsung di Nanjing, China ketika ini selain Sukan Asia 2018 di Jakarta, Indonesia yang bermula 19 hingga 28 Ogos.

“Terima kasih Lin Dan kerana menghadiri aktiviti ini (majlis pelancaran raket Yonex di Nanjing) untuk saya dan semoga anda meraih kejayaan yang baik. Saya akan kembali ke gelanggang untuk bertemu anda secepat mungkin...saya sayang kamu semua,” kata Chong Wei dalam rakaman video itu.

Pemain berusia 36 itu terpaksa menarik diri daripada dua kejohanan utama berkenaan selepas disahkan mengalami masalah pernafasan dan perlu berehat sekurang-kurangnya sebulan selain tidak boleh melakukan aktiviti fizikal berat.

Bagaimanapun, Meja Sukan NSTP kelmarin melaporkan Chong Wei dikatakan mengalami masalah kesihatan yang serius sehingga mampu menamatkan kerjayanya sebagai pemain badminton dan ketika ini berada di Taiwan bagi mendapatkan rawatan susulan.

Sementara itu, rakan-rakan seperjuangan Chong Wei termasuk Lin Dan dan pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen mengirimkan kata-kata semangat buat pemenang pingat perak Olimpik tiga kali itu agar dia segera pulih dan boleh kembali ke gelanggang.

Juara dunia lima kali, Lin Dan yang dilabel sebagai musuh tradisi kepada Chong Wei sejak sekian lama, berkata dia sangat menghargai hubungan yang terjalin dengan pencabar utamanya itu tidak kira di dalam atau luar gelanggang.

“Sejak dulu sehingga sekarang, daripada bujang sehingga sudah berkahwin serta mempunyai keluarga, saya sangat hargai hubungan dengan Chong Wei. Saya harap Chong Wei segera pulih dan kembali ke gelanggang,” katanya.

Axelsen pula berkata: “Saya berharap Chong Wei akan segera pulih dan semoga semua urusan rawatannya dipermudahkan.”

Dia membuka tirai saingan Kejohanan Dunia dengan kemenangan ke atas pemain Portugal, Duarte Nuno Anjo 21-8, 21-17.

Disiarkan pada: July 30, 2018 @ 4:32pm
d