arena

'Kegagalan Jang sudah dijangka'

Oleh Mohd Amin Jalil

"KAMI dah jangka dari awal lagi iaitu bermulanya saingan Liga Malaysia musim ini bahawa Negeri Sembilan tidak akan berupaya melangkah jauh kerana persiapan pembentukan pasukan itu sendiri dilihat kurang sempurna," kata Presiden Kelab e-Penyokong Bolasepak Negeri Sembilan (N9futbol.com), Ahmad Zaini Baharun.

Katanya, pelbagai faktor lain yang menyumbang kepada prestasi dan pencapaian terburuk skuad Hobin Jang Hobin musim ini, termasuk tindakan menukar ketua jurulatih sebanyak tiga kali.

"Selain itu, pemilihan pemain import yang kurang mantap manakala pemain tempatan yang dipilih ada kalangan mereka yang sudah tidak lagi mampu mencapai tahap prestasi tertinggi untuk menyaingi kekuatan pemain muda.

"Hasilnya, pasukan Negeri Sembilan yang ditampilkan kali ini jelas gagal berikan saingan sedangkan Liga Super sudah mencapai suatu tahap yang tinggi.

"Akibatnya, pemain Negeri Sembilan kini terpaksa akur dengan kegagalan mereka untuk merealisasikan sasaran yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) iaitu mengekalkan kedudukan dalam liga ini bagi musim depan," katanya hari ini.

Selain tersingkir ke saingan Liga Perdana musim depan, Negeri Sembilan yang dibimbing pengendali dari Portugal, Mario Lemos turut terlepas dalam saingan Piala Malaysia musim ini, antara pencapaian terburuk berbanding musim lalu.

Skuad berkenaan menamatkan saingan dalam liga di tangga tercorot dengan hanya mencatatkan empat kemenangan daripada keseluruhan 22 perlawanan dan mengumpul 15 mata.

Ahmad Zaini berkata, sudah tiba masanya PBNS dan pengurusan pasukan itu untuk memikirkan kaedah terbaik bagi persiapan pembentukan pasukan baharu bagi menghadapi saingan musim depan.

Menurutnya, pihak berkenaan seharusnya memanfaatkan sebaik mungkin tempoh rehat yang panjang ini untuk membuat persiapan lebih awal bagi membentuk pasukan yang berwibawa untuk musim depan.

"Mereka (PBNS) harus menyelesaikan seberapa segera mengenai pemilihan kepemimpinan baharu persatuan supaya pemimpin berkenaan dapat merangka dan menyusun langkah terbaik dalam membentuk pasukan baharu.

"Persiapan bagi pembentukan pasukan baharu itu perlu bermula dari awal supaya pemilihan pemain dapat dilakukan dengan teliti dan sempurna serta pemain yang dipilih nanti benar-benar berkualiti serta boleh menggalas tugas menjulang nama pasukan.

"Ketika ini semua pihak perlu melupakan prestasi dan pencapaian terburuk yang dicapai pasukan Negeri Sembilan dan tiba masanya mereka memberikan sokongan padu bagi membentuk kembali pasukan yang lebih mantap, disegani serta digeruni untuk musim depan," katanya.

Ahmad Zaini yakin, jika perancangan yang lebih rapi dan sempurna dapat dilakukan PBNS, skuad Rusa yang mempunyai ramai peminat setia mampu bangkit mengulangi pencapaian dan kejayaan silam.

"Kebangkitan dan kejayaan luar dugaan yang dicapai oleh beberapa pasukan lain seperti FELCRA FC dan MIFA yang beraksi dalam Liga Perdana musim ini sewajarnya dijadikan contoh," katanya.

Disiarkan pada: July 30, 2018 @ 7:22pm
d