arena

Cepatlah pulang...

Oleh Reuters

PEMAIN Manchester United yang beraksi di Piala Dunia diharap dapat memendekkan cuti mereka bagi membantu pasukan pada peringkat awal musim Liga Perdana Inggeris, kata pengendalinya Jose Mourinho.

Beberapa pemain daripada kesebelasan utama United, termasuk Paul Pogba, Romelu Lukaku dan Jesse Lingard bercuti selepas Piala Dunia dan mungkin terlepas aksi pembukaan menentang Leicester City, kurang dua minggu lagi.

Dua pemain England, Phil Jones dan Marcus Rashford dijangka memendekkan percutian mereka bagi membantu United membuat persiapan untuk musim baru. Mourinho berharap perkara sama dapat dilakukan pemain lain.

“Saya harap mereka yang sedang bercuti menjaga diri dan melakukan apa yang Rashford dan Phil Jones buat, iaitu balik lebih awal bagi membantu pasukan kerana kami akan berdepan masalah di awal musim,” kata Mourinho.

Masalah United ditambah dengan kecederaan pemain tengah, Nemanja Matic manakala Chris Smalling, Marcos Rojo dan Antonio Valencia juga direhatkan ketika persiapan pramusim.

United tewas 1-4 di tangan pesaing liga, Liverpool dalam Piala Juara-Juara Antarabangsa dan bertekad untuk mengelak satu lagi keputusan memalukan apabila berdepan juara Liga Juara-Juara, Real Madrid, Rabu ini.

Kelab Old Trafford itu akan bertemu juara Jerman, Bayern Munich dalam aksi persahabatan terakhir pada 5 Ogos sebelum melayan kunjungan Leicester pada perlawanan pembukaan liga, 10 Ogos ini.

Disiarkan pada: July 30, 2018 @ 10:32pm
d