arena

'Maafkan saya Spurs'

Oleh Agensi

LONDON: Penyerang Tottenham Hotspur, Son Heung Min memohon maaf susulan kegagalannya membantu kelab itu ketika kempen Liga Perdana Inggeris membuka tirai tidak lama lagi.

Ia kerana pemain Korea Selatan itu mempunyai tugas mengemudi skuad kebangsaannya pada Sukan Asia Indonesia yang berlangsung dalam tempoh sama.

Sukan Asia 2018 membuka tirainya pada 14 Ogos ini, tiga hari selepas Spurs membuka kempen liga menentang Newcastle.

Jika Korea Selatan yang juga penyandang juara mara ke final pada 1 September depan, Heung Min terlepas tiga perlawanan Tottenham berikutnya menentang Fulham, Manchester United dan Watford.

Justeru, pemain berusia 26 tahun itu melahirkan kekesalan tidak mampu membantu pasukannya pada permulaan kempen 2018-19.

“Saya memang perlu memohon maaf,” kata Heung Min.

“Saya tidak dapat bermain dengan pasukan untuk tempoh yang lama jadi saya mahu meminta maaf kepada pengurus dan rakan sepasukan.

“Saya yakin rakan sepasukan dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkan, tapi saya masih berasa bersalah meninggalkan pasukan apabila musim sudah bermula.

“Jadi penting buat saya untuk bersedia berkorban buat pasukan sejurus saya kembali (dari Sukan Asia),” katanya.

Heung Min yang baru-baru ini menandatangani kontrak lanjutan bersama Spurs hingga 2023 turut menyuarakan kegembiraannya atas kepercayaan diberikan kelab itu terhadapnya.

Dia menyertai Tottenham dari kelab Jerman, Bayer Leverkusen pada 2015 dan menjadi antara tonggak kejayaan kelab itu apabila meledak 26 gol sejak dua musim lalu.

Disiarkan pada: July 31, 2018 @ 11:47am
d