arena

Pochettino tetap berahsia

Oleh Agensi

LONDON: Tottenham Hotspur boleh mengharungi kempen baharu Liga Perdana Inggeris tanpa pemain tambahan, kata pengurus Mauricio Pochettino.

Kembali ke kancah Liga Juara-Juara selepas menamatkan musim lalu di tangga ketiga, Spurs hanya melihat seteru Liverpool berbelanja besar dengan kelab itu langsung tidak mengeluarkan wang untuk berbelanja setakat ini.

Ia tampak seperti mengejutkan selepas Pochettino pernah menggesa pengurusan tertinggi kelab London itu untuk ‘berani’ dan ‘mengambil risiko’ dalam usaha mencabar kejuaraan.

Bintang Real Madrid, Gareth Bale, tonggak Aston Villa, Jack Grealish dan penyerang Manchester United, Anthony Martial antara nama yang dikaitkan tetapi pengurus dari Argentina itu tidak boleh menjangka sama ada ia mampu menjadi kenyataan.

“Musim lalu saya ada memberitahu anda beberapa jumlah pemain, tapi musim ini saya tidak tahu,” kata Pochettino.

“Saya tidak tahu jika kami akan membeli pemain atau tidak. Kami sedang berusaha. Saya tidak boleh memberitahu anda jika kami akan mengikat seorang, dua, tiga atau empat pemain.”

Pochettino yang menandatangani kontrak baharu lima tahun bersama kelab itu Mei lalu berkata, beliau akan membiarkan orang membuat penilaian sendiri susulan komen yang dibuatnya sejurus musim lalu berakhir.

Tottenham akan memulakan kempen liga menentang Newcastle United di gelanggang lawan pada 11 Ogos ini.

Disiarkan pada: July 31, 2018 @ 3:36pm
d