arena

'Kami tak lari, cuma dah tawar hati...'

Oleh Syafiq Aznan

 

DUA bekas Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Datuk Mohd Aizuddin Mohd Ghazali dan Datuk Nik Izani Nik Ibrahim menafikan dakwaan mereka cuba melarikan diri ketika pasukan itu berdepan masalah yang meruncing.

Sebaliknya, mereka mengakui sudah tawar hati apabila presiden, Bibi Ramjani Ilias Khan menjadikan KAFA seperti hak milik sendiri sekali gus melepaskan jawatan kerana enggan mengkhianati amanah Persatuan Bolasepak Jajahan (PBJ) dan juga peminat skuad The Red Warriors.

Menerusi kenyataan bersama hari ini, mereka menegaskan tidak diberi tanggungjawab dan tugas secara jelas untuk memainkan peranan ke arah pembentukan pasukan yang mantap dan Exco dianggap tidak membantu persatuan itu.

“Sejak 17 September 2017 ketika pertama kali diberi amanah oleh PBJ untuk menerajui KAFA, kami hanya dipanggil untuk mesyuarat Exco sebanyak tiga kali sahaja.

“Semuanya dibuat secara solo tanpa membuat keputusan secara konsesus dan paling menyedihkan, Exco dilihat sebagai musuh dalam selimut dengan menganggap exco tidak boleh membantu KAFA,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, mereka turut mendedahkan betapa presiden tidak mempedulikan kewujudan Exco sejak awal musim lagi khususnya membabitkan soal kewangan tanpa pengetahuan mereka.

“Soal dana kewangan dan tajaan tidak dibawa ke Mesyuarat Exco termasuklah beberapa tajaan serta geran tahunan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang diperoleh dan jumlah dana yang sepatutnya atau perlu dibelanjakan pada musim ini.

“Ini sekali gus menyebabkan ada dalam kalangan exco yang mendahulukan duit dari poket sendiri untuk kebajikan pemain demi memastikan kebajikan mereka terjaga.

“Semua laporan yang tidak lengkap ini hanya dibentangkan pada mesyuarat terakhir ketika pengurusan dan pasukan berada di tahap yang meruncing. Sebagai contoh, kami dimaklumkan perbelanjaan pasukan sebanyak RM4 juta tetapi perincian kewangan tidak dibentangkan secara lengkap dan telus kepada Exco,” katanya.

Mengulas lanjut situasi itu, mereka menjelaskan krisis pengurusan mencapai kemuncak apabila Bibi membuat keputusan sendiri untuk melantik Fajer Ibrahim sebagai Ketua Jurulatih tanpa pengetahuan mereka dan juga Exco.

“Bibi memberi kepercayaan penuh kepada Fajer dalam membuat semua keputusan kecuali kewangan.

“Ini sehinggakan Fajer berani masuk campur urusan pentadbiran pengurusan dan pada masa sama, berlakunya kes membabitkan pemain berpengalaman seperti Badhri Radzi, Do Donghyun, Norfarhan Muhammad dan Amiridzwan Taj yang digantung tanpa bertali juga diputuskan tanpa pengetahuan Exco,” katanya.

 

Disiarkan pada: July 31, 2018 @ 7:41pm
d