arena

'Saya mampu ganti Chong Wei...'

Oleh Helmi Talkah

WAKIL tunggal Malaysia dalam acara perseorangan lelaki, Liew Daren membuktikan dia mampu menampung ketiadaan Datuk Lee Chong Wei apabila memulakan kempen Kejohanan Badminton Dunia dengan penuh bergaya dengan mengesahkan tempat ke pusingan kedua, hari ini.

Daren yang bergerak secara profesional melakar kejutan dengan menewaskan pilihan ke-13 dari Indonesia, Jonatan Christie 21-12, 21-16 dalam aksi pusingan pertama kejohanan yang berlangsung di Nanjing, China.

Kemenangan itu menyaksikan juara Terbuka Perancis 2012 itu berjaya melunaskan dendam ke atas Jonatan yang menewaskannya ketika saingan Terbuka Malaysia, Jun lalu.

Daren yang menjadi sandaran Malaysia untuk acara perseorangan lelaki selepas ketiadaan Chong Wei yang menarik diri susulan masalah kesihatan akan bertemu pemenang perlawanan antara pemain Israel, Misha Zilberman dengan Niluka Karunaratne dari Sri Lanka bagi perebutan tempat ke pusingan ketiga, esok.

Sementara itu, beregu muda lelaki negara, Aaron Chia-Sooh Wooi Yik turut cemerlang pada penampilan pertama mereka di Kejohanan Dunia apabila membuka tirai saingan dengan kemenangan ke atas pasangan Korea Selatan, Chung Eui Seok-Kim Dukyong 21-15, 21-18.

Mereka yang menghuni ranking ke-35 dunia akan bertemu pasangan Taiwan yang juga pilihan ke-12 kejohanan, Lee Jhe Huei-Lee Yang pada aksi pusingan kedua.

"Perlawanan hari ini agak sukar sebenarnya kerana lawan kami berada dalam kelompok 30 terbaik dunia tetapi kami tidak terlalu fikirkan mengenai kemenangan. Bagi kami, apa yang paling penting adalah bermain dengan corak permainan kami dan berikan yang terbaik.

"Esok, kami akan bertemu sekali lagi dengan beregu Taiwan, kami menewaskan mereka tiga minggu lalu ketika pusingan 16 terbaik Terbuka Thailand. Walaupun kami menang ketika itu tetapi saya pasti ia akan menjadi perlawanan yang lebih sukar kali ini," kata Aaron ketika dihubungi.

Satu lagi beregu lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin turut melangkah ke pusingan kedua selepas menewaskan pasangan India, Arjun M R-Ramchandran Shlok 21-14, 21-15 dan mereka akan membuat perhitungan dengan rakan senegara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong di pusingan kedua.

Pemain perseorangan wanita, Sonia Cheah pula gagal meneruskan kemaraan apabila terkandas di pusingan kedua selepas tewas di tangan pemain Jepun, Sayaka Sato 15-21, 11-21.

Dalam saingan beregu campuran pula menyaksikan hanya dua daripada tiga wakil negara yang beraksi di pusingan kedua hari ini layak ke pusingan ketiga. Mereka ialah Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying manakala Tan Kian Meng-Lai Pei Jing ditunjukkan keluar daripada saingan.

 

Disiarkan pada: July 31, 2018 @ 8:29pm
d