arena

Layang kad 'cinta' buat pengurus

Oleh AFP

LONDON: Pengurus kelab Liga Inggeris yang bertindak keterlaluan di tepi padang akan dilayangkan kad kuning dan merah mulai musim ini, umum Persatuan Bolasepak Inggeris (FA).

Ia termasuk pengurus kelab Liga Perdana Inggeris sebagai sebahagian daripada projek perintis berdasarkan kod ‘kelakuan kawasan teknikal sedia ada’ badan induk itu.

Begitupun, ia tidak tertakluk bagi perlawanan Liga Perdana tetapi digunakan dalam Piala FA, Piala Liga dan liga bawahan dengan hukuman yang diberikan agak serupa terhadap pemain termasuk penggantungan automatik selepas mengutip dua kesalahan kad kuning.

Bagi Liga Perdana, pengurus tidak akan dilayangkan kad tetapi mereka akan menerima amaran secara lisan.

Antara kesalahan yang boleh dikenakan tindakan termasuk menyepak botol minuman, tepukan yang menyindir atau membuat lakonan seperti melayangkan kad.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Inggeris, Shaun Harvey berkata, peraturan itu bukan baharu tetapi ideanya adalah untuk memastikan prosedur disiplin dapat difahami lebih jelas oleh peminat.

Sebelum ini, pengadil memang mempunyai kuasa untuk menghukum pengadil yang melakukan tindakan tidak sepatutnya tetapi kad merah akan memberikan penjelasan lebih jelas apa yang berlaku.

“Kami berasakan ia perlu ditambah sebagai penjelasan dan mengharapkan sikap yang lebih baik di kawasan teknikal,” kata Harvey.

“Ia bukan mengenai mencipta drama. Ia bagi memastikan sikap mereka tidak melampau.”

Disiarkan pada: August 1, 2018 @ 12:43pm
d