arena

Serena angkat kaki awal

Oleh AFP

LOS ANGELES: Serena Williams tersingkir daripada kejohanan WTA San Jose hari ini, tewas 12 game berturut-turut dalam kekalahan mengejut pada pusingan pertama di tangan pemain bukan pilihan Johanna Konta.

Serena, yang beraksi perlawanan pertamanya sejak tumpas pada final Wimbledon, cuba mengembalikan prestasi sebenarnya sesudah terlepas hampir keseluruhan musim 2017 kerana melahirkan anak.

Namun pemenang 23 gelaran Grand Slam itu bergelut menentang pemain nombor satu Britain dan bekas juara Konta, yang menewaskannya 6-1, 6-0 dalam hanya 51 minit di gelanggang utama.

“Dia jelas tidak bermain pada tahap terbaiknya, jadi saya hanya cuba bermain rentak saya dan melakukan apa yang boleh di luar sana,” kata Konta.

Serena, yang tampil sebagai pilihan keenam, hanya berjaya melakukan sembilan pukulan ‘winners’ berbanding 25 ‘unforced errors’ manakala servisnya dipatahkan enam kali.

Kedua-dua pemain itu turun beraksi perlawanan pertama mereka sejak Wimbledon, yang mana Serena muncul sebagai naib juara di tangan Angelique Kerber manakala Konta tewas pada pusingan kedua kepada Dominika Cibulkova.

Kekalahan itu hadir sebulan selepas Serena merungut dia menjadi mangsa diskriminasi pegawai ujian dadah sukan itu kerana jumlah sampel yang perlu diberikannya.

“Daripada semua pemain ternyata saya paling banyak diuji. Diskriminasi? Saya fikir begitu,” tulis Serena dalam Twitter.

Konta memenangi kejuaraan sulung WTA pada kejohanan ini dua tahun lalu apabila ia diadakan di Universiti Stanford, mengalahkan kakak Serena, Venus pada aksi final. Dia berdepan Sofia Kenin pada pusingan berikutnya.

Disiarkan pada: August 1, 2018 @ 3:22pm
d