arena

Selangor sedia rai penyokong Singapura

Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof 

SELANGOR bersedia menyambut kehadiran sebanyak 45 bas penyokong Singapura sempena edisi ke-17 perlawanan Piala Sultan Selangor 2018 di Stadium Shah Alam pada 25 Ogos ini.

Buat pertama kalinya edisi ke-17 perlawanan Piala Sultan Selangor 2018 bakal menyaksikan tiga trofi dipertandingkan di Shah Alam selepas ia dipertaruhkan di Singapura sebagai tuan rumah pada tahun lalu.

Pengerusi Piala Sultan Selangor, Tan Sri Abd Karim Munisar, berkata pada mulanya beliau difahamkan pihak Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) mahu menghantar sebanyak 30 bas ke Shah Alam.

"Hari ini, saya dimaklumkan FAS akan menghantar 45 bas, mungkin meningkat ke 50 bas dan ia satu peningkatan menggalakkan dan semua penyokong dari Singapura dijemput hadir beramai-ramai pada 25 Ogos ini.

"Kami di Selangor sudah melengkapkan pelbagai aktiviti dan program yang akan berlangsung pada 25 Ogos nanti antaranya persembahan artis tempatan, pertunjukan laser dan bunga api serta persembahan kanak-kanak sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penyerahan tiket kepada penyokong Singapura untuk perlawanan Piala Sultan Selangor 2018 di Pejabat Persatuan Bola Sepak Singapura di Stadium Jalan Besar di sini, hari ini.   

Turut hadir, pengerusi delegasi Singapura, Teo Hock Seng. 

Abd Karim berkata, tahun ini juga akan diadakan cabutan bertuah dengan hadiah berupa sebuah Honda City kepada semua pengunjung yang mendapatkan tiket bagi perlawanan berkenaan.

"Perlawanan akan dimulakan dengan Piala Cabaran Sekolah-sekolah Selangor-Singapura yang julung kali diadakan di Shah Alam pada jam 5.30 petang, diikuti Pilihan Veteran dan perlawanan utama iaitu Pilihan Selangor dan Singapura," katanya.

Dalam aksi Piala Sultan Selangor edisi ke-16 yang berlangsung 6 Mei tahun lalu, skuad Veteran Selangor dan Veteran Singapura dinobatkan sebagai juara bersama selepas terikat seri tanpa jaringan.

Pada perlawanan di Stadium Nasional Singapura itu, Pilihan Singapura membawa pulang Piala Sultan Selangor buat kali ketujuh selepas menewaskan Pilihan Selangor 3-2, manakala Sekolah Sukan Singapura membawa pulang Piala Cabaran Sekolah-sekolah Singapura-Selangor selepas menewaskan Gabungan Sekolah Selangor 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti.

 

INFO

* Pilihan Selangor memenangi kejuaraan 7 kali pada tahun 2001, 2003, 2005, 2008, 2012, 2013 dan 2014.

* Pilihan Singapura memenangi kejuaraan 7 kali pada tahun 2006, 2007, 2009, 2010, 2011, 2016 dan 2017.

* Pada tahun 2004 kedua-dua pasukan digelar juara bersama, manakala tahun 2015 perlawanan terpaksa dibatalkan kerana cuaca jerebu.

Disiarkan pada: August 1, 2018 @ 9:50pm
d