arena

Tambahan derita Nasri

Oleh AFP

HUKUMAN penggantungan bekas pemain antarabangsa Perancis, Samir Nasri susulan kesalahan doping dilanjutkan kepada 18 bulan, berbanding enam bulan sebelum ini.

Perkembangan itu diumumkan oleh badan induk Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA), hari ini.

Pemain berusia 31 tahun itu yang ketika ini tidak terikat dengan sebarang kelab digantung selama enam bulan pada Februari selepas menerima rawatan memasukkan cecair ke dalam badan di sebuah klinik di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 2016.

Tindakan bekas pemain Manchester City itu menyalahi peraturan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA).

Nasri pernah membawa kes berkenaan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), tetapi rayuannya ditolak pada Disember lalu, sekali gus membenarkan UEFA meneruskan kes tatatertib terhadapnya.

Pasukan terakhir yang disertai Nasri ialah kelab Turki, Antalyaspor Ogos lalu.

Disiarkan pada: August 2, 2018 @ 8:16am
d