arena

Sarri mahu jumpa Willian

Oleh Agensi

LONDON: Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri ‘tidak gembira’ dan merancang untuk berbincang dengan Willian apabila pemain Brazil itu menangguhkan kepulangannya ke kelab selepas rehat Piala Dunia.

Masa depan Willian bersama The Blues menjadi tanda tanya selepas Manchester United dan juara Eropah Real Madrid dipercayai berminat mendapatkan khidmatnya dengan Barcelona sudah melakukan beberapa bidaan.

Ketika pemburuan Barca berakhir selepas juara Sepanyol itu menandatangani Malcom dari Bordeaux, Willian menangguhkan kepulangannya ke London selepas wujud spekulasi baharu.

Sekali pun masalah itu dipercayai berpunca daripada isu pasport dan bukannya bidaan dari Real, Sarri mengakui kecewa dengan situasi berkenaan ketika ditemui pada sidang media sejurus kekalahan Chelsea kepada Arsenal dalam aksi pra-musim.

“Saya mahu bercakap dengannya sebelum saya menjawab semua soalan ini.” kata Sarri mengulas situasi Willian. “Saya tidak gembira dengan situasi ini tetapi sebelum saya menjawabnya, saya mahu bercakap dengannya.”

Ketika ditanya sama ada perkara itu dianggap sebagai pelik, Sarri menjawab: “Ya.”

Begitupun, Willian bukan satu-satunya pemain Chelsea yang dipalit spekulasi perpindahan dengan Eden Hazard dan penjaga gol, Thibaut Courtois berulang kali menyuarakan hasrat mereka untuk berpindah.

Sarri tidak mempunyai sebarang jawapan terhadap situasi berkenaan tetapi mengakui akan menemui semua yang terbabit buat pertama kali pada minggu ini.

“Tidak ketika ini, kerana saya akan menemui mereka pada Sabtu untuk kali pertama,” kata Sarri bagi menjawab persoalan berkenaan. “Saya tidak mengetahui mengenai situasi ketika ini. Jadi tiada sebarang berita.

“Kita bercakap mengenai pemain-pemain utama. Setiap kelab mahu mengekalkan pemain-pemain terbaik mereka dan kami juga cuba untuk melakukan perkara yang sama.”

Disiarkan pada: August 2, 2018 @ 2:57pm
d