arena

Tindakan tegas akan diambil

Oleh Sukhairi Thani

KUALA LUMPUR: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan ke atas penggunaan nama pasukan PETRONAS Sprinta Racing di dalam jualan barangan mereka. 

Terbaru, nama pasukan yang bertanding dalam kelas Moto3 itu dicetak dalam rekaan baju dan dijual secara terbuka terutamanya di laman sosial. 

“Saya akan mengambil tindakan segera terhadap perkara ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali ketika diminta mengulas mengenai isu berkenaan. 

“Ini masalah yang kita hadapi dengan rakyat Malaysia yang tidak bertanggungjawab dan tidak beretika. Ini semua mencuri. 

“Bagi pihak SIC dan juga Dorna, kami mempunyai polisi yang semua barangan dijual di litar Sepang perlulah yang rasmi dan tulen. 

“Tiap-tiap tahun ada saja gerai yang menjual barangan seperti ini (ciplak) dan kami mengambil tindakan tetapi mereka juga menjualnya di luar. 

“Bagi saya, pihak berkuasa seperti KPDNKK (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,Koperasi dan Kepenggunaan) dan polis perlu memperkuatkan lagi penguatkuasaan terhadap perkara seperti ini.”

Jualan barangan ciplak oleh pihak tidak bertanggungjawab menghantui arena permotoran negara terutamanya sejak Hafizh Syahrin Abdullah diangkat untuk beraksi di dalam kelas perdana MotoGP bersama pasukan Monster Yamaha Tech3, awal tahun ini. 

Disiarkan pada: August 2, 2018 @ 5:29pm
d