arena

'Kami sedia hadapi Indonesia'

Oleh Azlan Muhammad Zain

KUALA LUMPUR: Skuad sepak takraw negara sudah sedia dari segi mental sekiranya diletakkan dalam kumpulan yang sama dengan tuan rumah dalam acara regu di Sukan Asia 2018, pertengahan bulan ini.

Timbalan Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Akramuddin Abd Aziz menjelaskan, mereka cukup bersedia menghadapi mana-mana lawan asalkan kembali disenaraikan dalam acara regu yang menjadi sandaran utama negara meraih emas pada temasya itu.

“Letaklah kumpulan mana sekalipun (A atau B), tiada masalah. Jika bersama Indonesia, kita sudah bersedia dari aspek mental dan fizikal.

“Apabila bermain di gelanggang lawan, adalah menjadi kelaziman (diejek dan sebagainya) namun jika bertemu mereka, pemain kita sudah bersedia. Saya percaya pemain negara akan dapat menyerap tekanan,” katanya.

Indonesia turut dilihat mengintai emas acara regu selepas Thailand membuat keputusan tidak menyertainya dan berada dalam Kumpulan A bersama-sama Singapura, Filipina dan Pakistan manakala Korea Selatan mengetuai Kumpulan B bersama-sama China, India dan Nepal.

Walaupun tiada dalam senarai tiga sukan yang disenaraikan berisiko oleh kontinjen Malaysia, aksi sepak takraw yang berlangsung di Palembang dijangka turut menjadi perhatian dan ‘panas’ sekiranya Malaysia diletakkan dalam kumpulan yang sama bersama tuan rumah kerana Majlis Olimpik Asia (OCA) sudah menjelaskan tiada undian semula akan diadakan.

Malaysia yang tersisih daripada undian yang dilangsung pada awal bulan lalu masih menanti kedudukan kumpulan dan jadual perlawanan yang baru selepas OCA mengarahkan Jawatankuasa Penganjuran Sukan Asia Indonesia 2018 (INASGOC) memasukkan kembali penyertaan regu negara.

Pengurus Besar PSM, Tengku Adnan Tengku Burhanuddin menjelaskan, pihaknya melalui Majlis Olimpik Malaysia (MOM) masih menanti surat pengesahan Malaysia kembali menyertai acara regu.

Menurutnya, pertemuan Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail bersama Pengarah OCA bagi Sukan Asia, Haider Farman di Jakarta tempoh hari mendapatkan reaksi positif selepas menunjukkan semua bukti penyertaan.

“Kami difahamkan beliau sudah mengarahkan agar Malaysia kembali disenaraikan dalam acara regu namun kami masih menunggu surat pengesahan pihak penganjur tentang perkara ini.

“Sejak awal PSM dan MOM tidak melakukan sebarang kesilapan iaitu hanya menyertai acara regu dan regu berpasukan bagi kategori lelaki, bukan beregu berpasukan seperti undian yang dijalankan ,” katanya.

Disiarkan pada: August 2, 2018 @ 6:07pm
d