arena

Kejutan Daren, beregu

Oleh Fabian Peter

LIEW Daren dan beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik melakukan kejutan apabila masing-masing melakar kemenangan di pusingan ketiga sekali gus menempah tiket ke suku akhir Kejohanan Dunia di Nanjing, China.

 Daren yang juga bekas pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hampir menutup isu ketiadaan Datuk Lee Chong Wei apabila menewaskan pemain ranking keenam dunia dari India, K Srikanth 21-18, 21-18 untuk melangkah ke pentas suku akhir buat kali pertama.   

 Juara Terbuka Perancis itu turut mengekalkan rekod ke atas pemain nombor satu India itu dengan menewaskannya dua kali sejak lima tahun lalu.

 "Saya bekerja keras untuk meraih kemenangan ini dan sudah tentu saya gembira dapat mara sejauh ini. Sebagai pemain profesional ia pasti agak sukar tetapi akhirnya saya dapat mencapai sasaran yang ditetapkan.

 "Sekarang saya akan cuba beraksi sebaik mungkin dan andai dapat meraih satu lagi kejutan, ia pasti satu bonus untuk saya," katanya pemain yang mendapat tajaan AirAsia itu yang akan bertemu pemain Jepun, Kanta Tsuneyama di suku akhir.

 Daren nyata tidak mengecewakan apabila mengejutkan pilihan ke-13, Jonatan Christie dari Indonesia 21-12, 21-16 di pusingan pertama sebelum mengatasi wakil Israel, Misha Zilberman pada pusingan kedua.

 Pencapaian terbaik pemain berusia 31 tahun itu di Kejohanan Dunia sebelum ini adalah pada edisi 2013 di Guangzhou, China apabila melangkah sehingga ke suku akhir.

 Sementara itu, Aaron-Wooi Yik turut melakar kejuatan apabila menewaskan beregu ranking kelapan dunia, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 21-18, 21-16 di pusingan ketiga.

 Beregu negara yang menduduki ranking ke-35 dunia itu sebelum ini menewaskan pasangan ranking ke-11 dunia, Lee Jhe Huei-Lee Yang dari Taiwan di pusingan kedua.

 Wooi Yik berkata, mereka tidak mengendahkan status lawan dari Denmark itu.

 "Meskipun mereka adalah pasangan nombor lapan dunia, kami tidak mahu terlalu menghormati mereka. Sejak awal permainan lagi, kami tidak mahu menunjukkan kelemahan," katanya.

 Selepas satu lagi pasangan negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong tersingkir apabila tewas  21-16, 15-21, 20-22 kepada gandingan China,  Li Junhui-Liu Yuchen di pusingan ketiga, Aaron-Wooi Yik akan menggalas tugas besar apabila muncul satu-satunya beregu negara mara ke suku akhir.

 

Disiarkan pada: August 2, 2018 @ 9:42pm
d