arena

Lauda berjaya jalani perpindahan paru-paru

Oleh AFP 

JUARA dunia tiga kali Formula Satu (F1), Niki Lauda menjalani pembedahan perpindahan paru-paru selepas mengalami jangkitan ketika bercuti, umum Hospital Besar Vienna, pagi tadi.

“Pembedahan perpindahan itu dilaksanakan dengan berjaya,” kata kenyataan ringkas daripada hospital berkenaan.

Lauda, 69, memendekkan percutiannya di Ibiza, Sepanyol minggu lalu dan pulang ke Vienna selepas mengalami tanda-tanda jangkitan paru-paru, lapor akhbar Osterreich. 

Menjulang kejuaraan dunia buat kali pertama pada 1975, Lauda terselamat selepas mengalami kemalangan ngeri setahun kemudian di Grand Prix Jerman di Nurburgring yang meninggalkan kesan parut terbakar teruk kepadanya.

Di sebalik kemalangan itu, dia masih boleh menjulang dua lagi gelaran dunia pada 1977 dan 1984.

Dipercayai gas beracun yang dihidunya ketika insiden pada 1976 - di mana penyelamat mengambil hampir seminit untuk mengeluarkannya daripada jentera yang terbakar menyebabkan kemerosotan kekal terhadap kekuatan paru-parunya.

Sering berada di perlumbaan Grand Prix di seluruh dunia bersama Mercedes, Lauda tidak menonton perlumbaan di Hockenheim pada 22 Julai dan Hungary pada minggu lalu berikutan masalah yang dihadapinya.

Lauda yang turut memerlukan pembedahan pemindahan buah pinggang pada 1997 dan 2005, adalah bapa kepada empat anak daripada dua perkahwinan - Lukas (39), Mathias (37) dan kembar berusia lapan tahun Max dan Mia.

Lauda masih terbabit dengan aktif dalam F1 sebagai Presiden bukan eksekutif juara dunia, Mercedes dan pernah menubuhkan syarikat penerbangannya sendiri.

Disiarkan pada: August 3, 2018 @ 8:23am
d