arena

Woods buru kejuaraan ke-9 WGC Bridgestone

Oleh AFP

TIGER Woods yang gembira kembali beraksi di WGC Bridgestone Invitational, kejohanan yang pernah dimenanginya sebanyak lapan kali melakukan empat bawah par 66 pada hari pertama saingan, semalam.

Pemenang 14 kali gelaran utama itu memulakan pukulan di lubang ke-10 di Lapangan Firestone Country Club dan melakukan tiga birdie pada sembilan lubang pertama untuk ketinggalan tiga pukulan di belakang pendahulu, Ian Poulter dari Britain.

Sekali pun sedikit bergelut selepas itu, pemain golf Amerika Syarikat itu bermain tanpa bogey hingga bola pukulannya memasuki bunker pada lubang terakhir di lubang kesembilan par empat.

“Saya berjaya melakukan pukulan hari ini, dan ia sesuatu yang bagus,” kata Woods yang memenangi gelaran terakhir di Firestone pada 2013.

Selepas kemenangan itu, Woods mengharungi tempoh yang sukar sehingga terpaksa menjalani pembedahan tulang belakang pada April 2017.

Memulakan aksi pada 2018 di luar ranking 500 terbaik dunia, legenda golf itu mendaki ke tangga ke-50 selepas berkongsi kedudukan keenam di kejohanan utama Terbuka British sekali gus memberikannya tiket untuk beraksi di Firestone.

Tahun depan, Firestone tidak akan menganjurkan kejohanan Kejuaraan Golf Dunia (WGC) sebaliknya akan digantikan dengan Kejuaraan Pemain-Pemain Senior.

“Ia sesuatu yang istimewa bagi saya untuk bermain di sini sejak beberapa tahun,” kata Woods. “Ia seperti pekan yang kecil. Saya melihat orang yang sama sejak 15 tahun saya datang ke sini. Saya, salah seorang yang akan merindui tempat ini.”

Sekali pun tampil dengan persembahan boleh  dianggap memuaskan, Woods berkata dia belum berpuas hati dengan permainannya.

“Saya tidak memperoleh pukulan terbaik saya pada hari ini, hari bertahan di sana dan terlepas beberapa tempat sepanjang hari,” katanya. “Tetapi pukulan putt saya baik hari ini, saya benar-benar melakukannya.”

Disiarkan pada: August 3, 2018 @ 10:17am
d