arena

Andik teruja turun padang

Oleh Izzali Ismail

PEMAIN sayap lincah Kedah, Andik Vermansyah mengakui teruja untuk kembali beraksi dalam saingan penuh berprestij, Piala Malaysia yang akan bermula ahad ini.

Pemain import dari Indonesia itu mengalami kecederaan otot kaki sebelum direhatkan selepas perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 13 Julai lalu, dan kini dia beransur pulih bahkan, bersedia untuk ‘turun padang’.

“Apabila saya mengalami kecederaan otot kanan ketika menentang JDT, saya cukup kecewa kerana tidak dapat membantu pasukan sehingga ke penghujung musim.

“Selepas berehat selama beberapa minggu, saya beransur pulih dan berharap dapat beraksi kembali dengan secepat mungkin,” katanya yang mahu rakan sepasukan melupakan isu kemerosotan prestasi di penghujung liga.

Andik yang sudah meledak dua gol bersama Kedah sejak Februari lalu mengakui Piala Malaysia sudah tidak asing lagi bagi dirinya dan teruja apabila Kedah diundi bersama juara Liga Super dan juara bertahan Piala Malaysia, JDT.

Baginya, pertembungan awal dengan JDT pasti menjadi tumpuan di dalam kumpulan C dan berharap rakan sepasukan dapat meningkatkan fokus menghadapi cabaran getir skuad Harimau Selatan.

Disiarkan pada: August 3, 2018 @ 12:24pm
d