arena

Willian rujuk undang-undang

Oleh Agensi

LONDON: Penyerang Chelsea, Willian mengakui kecewa dengan tindakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab apabila menyebarkan dokumen palsu berkaitan surat pelantikan ejennya.

Surat yang tersebar di media sosial itu menunjukkan tandatangan pemain kelahiran Brazil berkenaan yang membenarkan perubahan ejen untuk mewakilinya ketika ini.

Willian, 29, sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United, Real Madrid dan Barcelona pada musim panas ini.

Bagi mendapatkan keadilan dan membersihkan namanya, dia mengesahkan sudah mendapatkan nasihat undang-undang berkaitan isu itu.

“Beberapa hari ini saya difahamkan surat kebenaran untuk ejen FIFA menjadi tumpuan di pasaran bola sepak,” katanya di laman Instagram.

“Saya ingin menjelaskan bahawa saya tidak pernah menandatangani surat seperti itu, dan menafikan kandungannya.

“Saya sudah mengarahkan peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang yang berkaitan sebelum ke mahkamah atau pihak berkuasa.

“Saya harap dengan penjelasan ini, tidak timbul lagi salah faham,” katanya yang dijangka terus kekal bersama Chelsea sekali gus menolak spekulasi akan berpindah ke pasukan lain.

Disiarkan pada: August 3, 2018 @ 3:32pm
d