arena

'Saya layak dipanggil sertai skuad B-23'

Oleh Zulfaizan Mansor

 

PEMAIN sayap Selangor, Syahmi Safari mahu membuktikan tindakan pengendali skuad bawah 23 (B-23) tahun, Datuk Ong Kim Swee menyenaraikannya dalam pasukan itu sebagai keputusan yang tepat.

Biarpun diletakkan dalam senarai menunggu sebelum ini, Syahmi kini dilihat antara pemain berpotensi mengisi kekosongan ditinggalkan dua pemain Pahang, Nor Azam Azih dan Matthew Davies.

Justeru, peluang terbaik untuk Syahmi membuktikan kemampuannya kepada Kim Swee pada aksi pemanas badan terakhir skuad B-23 berdepan skuad B-23 China, esok sebelum ke Sukan Asia Jakarta-Palembang, minggu depan.

“Selepas hanya berada dalam senarai menunggu dan akhirnya dipanggil oleh jurulatih, saya tidak boleh katakan ketiadaan pemain lain bermakna saya kini menjadi pilihan utama untuk berada dalam skuad utama.

“Saya perlu bekerja keras untuk meyakinkan jurulatih dan selebihnya terpulang kepada penilaiannya. Saya tak pasti posisi mana saya akan beraksi, tapi sebenarnya saya lebih selesa memainkan peranan di bahagian serangan.

“Bagi memberi keyakinan kepada jurulatih, saya perlu menunjukkan permainan yang tenang dan matang. Malah, pemain lain juga mempunyai kelebihan tersendiri terutama daripada segi pengalaman,” katanya.

Azam dan Davies yang menjadi tonggak utama dalam skuad Kim Swee dalam beberapa kejohanan sebelum ini tidak bersama pasukan selepas dikatakan tidak mendapat pelepasan daripada Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP).

Selain mereka, beberapa pemain lagi terpaksa diketepikan kerana masalah kecederaan termasuk pemain senior, Aidil Zafuan Abd Razak, Syamer Kutty Abba dan Jafri Firdaus Chew. 

Malah, Kim Swee juga perlu melupakan khidmat Hadi Fayyadh Abd Razak terpaksa diketepikan kerana akan mengharungi ujian bersama sebuah kelab di Jepun pada 6 Ogos.

Disiarkan pada: August 3, 2018 @ 9:08pm
d