arena

PAFA 'panggil semula' bekas presiden

Oleh Azizan Hashim

 

PERSATUAN Bola Sepak Perak (PAFA) melantik bekas Presiden PAFA Datuk Zainol Fadzi Paharuddin (2010-2015) sebagai bendahari baharu persatuan itu berkuatkuasa Rabu lalu.

Zainol ketika dihubungi mengesahkan sudah menerima surat pelantikan berkenaan semalam.

“Pelantikan saya sebagai Bendahari Kehormat PAFA adalah satu penghormatan daripada Presiden PAFA, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim,” kata Zainol. “Mungkin ia atas pengalaman saya bersama PAFA sebelum ini yang boleh membantu."

Zainol yang juga penasihat Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu ketika ditanya mengenai isu perubahan Ahli Majlis PAFA berkata, ia adalah hak presiden baharu dan tidak boleh dipertikaikan.

"Dalam kes pelantikan Setiausaha PAFA, umum kena faham sebab lantikan beliau sebelum ini dibuat oleh presiden PAFA yang lama.

"Saya juga dahulu mengalaminya di mana ramai pegawai yang ditamatkan perkhidmatan selepas saya tidak lagi memimpin PAFA,” katanya.

Menurutnya, ia adalah perkara biasa dalam berpersatuan, cuma bagi mereka yang ‘buta berpersatuan’ sahaja cuba menarik simpati luar untuk membuat perkara yang tidak wajar.

Zainol turut berharap peminat memberi kepercayaan kepada Presiden PAFA yang baharu dan terus menyokong pasukan yang akan memulakan saingan Piala Malaysia esok.

Disiarkan pada: August 3, 2018 @ 10:47pm
d