arena

City sedia turunkan Mahrez

Oleh Reuters

BINTANG baharu Manchester City, Riyad Mahrez yang mengalami kecederaan buku lali pada aksi pra musim dijangka dapat diturunkan pada aksi Perisai Komuniti bertemu Chelsea, Ahad ini, kata pengurusnya, Pep Guardiola.

Mahrez yang menyertai juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dengan kontrak lima tahun bulan lalu terpaksa diusung keluar selepas menerima terjahan keras pertahanan Bayern Munich, Chris Richards pada aksi pemanas badan terakhir mereka di Amerika Syarikat.

“Mahrez berada dalam keadaan yang baik. Dia mengalami sedikit kesakitan namun sudah menjalani latihan kelmarin. Saya jangkakan dia dapat beraksi Ahad ini,” kata Guardiola.

Guardiola yang membawa City merangkul kejuaraan liga dan Piala Liga musim lalu akan kehilangan khidmat penyerang, Raheem Sterling dan pemain tengah, Kevin De Bruyne yang masih belum bersedia selepas kempen Piala Dunia di Russia.

“Kevin dan Sterling tiada di sini namun mereka akan kembali selepas aksi pada Ahad ini. Pada hari Isnin nanti, semua pemain akan menyertai latihan dan kita akan mula memikirkan apa yang perlu kami lakukan untuk mengekalkan rentak musim lalu,” katanya.

City mahu muncul sebagai pasukan pertama mempertahankan kejuaraan liga selepas Manchester United meraih pencapaian itu sedekad lalu.

Selepas Perisai Komuniti, City akan membuka kempen liga bertemu Arsenal di laman lawan sementara Chelsea akan berkunjung ke Huddersfield Town. - Reuters

Disiarkan pada: August 4, 2018 @ 1:01am
d