arena

Tiada isu perkauman: Muller

Oleh Agensi

BERLIN: Thomas Mueller menegaskan perkauman bukan satu isu dalam skuad kebangsaan Jerman di sebalik tuduhan Mesut Ozil tetapi penyerang Bayern Munich itu menyalahkan media yang dilabel ‘hipokrit.’

Ozil mengumumkan persaraannya daripada skuad kebangsaan bulan lalu selepas mengakui ‘letih’ atas layanan berbaur perkauman yang diterima daripada Persekutuan Bolasepak Jerman (DFB), peminat dan sesetengah ahli politik.

Pemain tengah itu dikritik atas tindakannya serta rakan sepasukan, Ilkay Gundogan mengadakan perjumpaan dan bergambar dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menjelang kempen Piala Dunia di Russia yang berakhir mengecewakan.

Bintang Arsenal yang memiliki susur galur Turki mengkritik Presiden DFB, Reinhard Grindel yang dikatakan merendahkan martabat serta menuduhnya menipu dan dipersalahkan atas kempen longlai Jerman di Russia.

Mueller ketika ditanya mengenai situasi itu tidak menyalahkan kedua-dua pihak tetapi ‘menyerang’ media yang dikatakan hipokrit dalam laporan mereka.

“Segala kontroversi dihangatkan oleh orang luar,” kata Mueller.

“Sudah tentu, watak utama dalam perkara ini menyebabkan ia menjadi lebih mengecewakan, kedua-duanya daripada eksekutif DFB dan pemain.

“Tapi sebenarnya, debat ini adalah disebabkan oleh sikap hipokrit media. Kerana debat ini, media membuat spekulasi. DFB mahu berdamai, menenangkannya, tapi media sering bertanya, lagi dan lagi.

“Perbincangan menjadi lebih besar dan inilah situasinya sekarang. Dari sudut jualan, sudah tentu ia hebat kerana itu anda masih bertanya mengenainya.

“Bagi kami pemain, saya fikir semua isu ini bukan perkara besar seperti yang dikatakan, tapi sudah tentu kami akan sering berhadapan dengannya dan ia masih berterusan.

“Jadi kami sepatutnya menamatkan debat ini dan memberi tumpuan kepada bola sepak kerana perkauman tidak pernah wujud dalam skuad kebangsaan Jerman malah ia bukan isu.”

Disiarkan pada: August 4, 2018 @ 12:13pm
d