arena

FELDA tempang layan Melaka

Oleh Zulfaizan Mansor

FELDA United FC bakal turun dengan skuad tempang pada aksi pembukaan Piala Malaysia berdepan Melaka United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, esok.

Ia susulan ketiadaan 10 pemain termasuk lima mengalami kecederaan, seorang pemain bersama skuad bawah 23 (B-23) tahun manakala empat yang lain menyertai skuad B-19.

Keadaan itu jelas membimbangkan jurulatih The Fighters, B Sathianathan apabila kehilangan ramai pemain utama dan hanya memiliki 17 pemain dalam senarai bagi perlawanan itu.

“Persiapan pasukan tidak berapa lancar kerana ketika ini saya hanya ada 17 pemain saja. Wan Zack terpaksa direhatkan untuk tiga minggu kecederaan lutut sementara Hadin memang belum pulih.

“Danial Amier Norhisham bersama skuad B-23, manakala empat pemain B-19 juga sudah melaporkan diri kepada jurulatih Bojan Hodak.

“Sudah pasti saya bimbang, dengan Melaka hanya tewas sekali di bawah kendalian E Elavarasan dan saya lihat kami akan menentang pasukan yang berada dalam prestasi terbaik,” katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.

FELDA United dan Melaka United diundi dalam Kumpulan B bersama dua lagi pasukan berstatus kelab, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan PKNS FC.

Selain itu, Sathianathan mengakui bekas pemain import The Fighters, Ifedayo Olusegun perlu diberi perhatian sepenuhnya oleh barisan pemainnya pada perlawanan itu nanti.

“Kami kena bertahan dan tidak boleh bermain seperti biasa, kami kena berhati-hati. Melaka pasukan yang kuat dan memiliki beberapa pemain berbahaya.

“Kami tidak boleh bagi ruang kepada Ifedayo, R Gopinathan juga berada dalam prestasi terbaik. Walaupun sukar, tapi saya yakin pemain FELDA United akan bagi yang terbaik,” katanya.

Disiarkan pada: August 4, 2018 @ 4:05pm
d