arena

JDT waspada penangan MIFA

Oleh Rizar Mohd Noor

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) perlu waspada dengan aksi `luar biasa' barisan pemain MIFA apabila kedua-dua pasukan bertembung pada aksi pembuka tirai Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok.

Jika dinilai prestasi semasa, JDT bimbingan Raul Longhi berada di tahap kualiti yang terbaik dan tidak berdepan masalah untuk memulakan aksi piala berprestij dengan langkah kanan.

Namun skuad Harimau Selatan yang berstatus juara Liga Super lima musim berturut-turut harus bersedia dengan corak permainan pantas anak didik K Devan yang tampak gemar beraksi permainan agresif dan begitu cepat menutup ruang bagi mengelak gawang mereka dibolosi.

Keupayaan MIFA menamatkan saingan Liga Perdana di tangga ketiga beri gambaran betapa pasukan itu mampu melakar kejutan dan pasti pertembungan menentang JDT amat ditunggu barisan pemain Devan untuk membuktikan keupayaan mampu menewaskan pasukan berstatus juara liga lima musim berturut-turut.

Bagi memastikan tiga mata tidak terlepas kepada MIFA, kepakaran Longhi ditagih untuk membentuk kesebelasan yang mantap tanpa memperlekehkan keupayaan pasukan lawan yang mampu lakar kejutan.

Longhi bakal mempertaruhkan Fernando Marquez mengemudi jentera serangan dan terpaksa membuat rombakan kecil di posisi sayap kanan tatkala ketiadaan Safawi Rasid yang kini bersama skuad bawah 23 tahun (B-23) bagi persiapan Sukan Asia di Jakarta-Palembang yang bermula pertengahan Ogos ini dan belum pasti siapa yang akan mengisi kekosongan posisi sayap kanan.

Di posisi tengah, pengendali kelahiran Argentina itu tidak berdepan masalah untuk menyenarai pemain yang akan menggalas tugas mengemudi bahagian berkenaan tatkala kelibat kapten Hariss Harun, Fernando Elizari, Natxo Insan, Afiq  Fazail, Nazmi Faiz Mansor dan Safiq Rahim bersedia diturunkan.

Malah benteng pertahanan yang ampuh apabila hanya melepaskan enam gol sepanjang 22 perlawanan liga elit domestik sudah cukup mencerita betapa gandingan Marcos Antoni dan Mohd Fadhli Shas sambil dibantu S Kunanlan dan Corbin Ong boleh dianggap barisan pertahanan terbaik untuk skuad Harimau Selatan.

Apa pun, JDT tidak boleh terlalu ghairah untuk menewaskan MIFA kerana jika tersilap percaturan maka padah bakal menimpa walaupun kelebihan terletak kepada skuad Harimau Selatan tatkala beraksi di laman sendiri namun setiap pemain harus bertenang dan mengikut arahan taktikal Longhi bagi memburu kemenangan pertama.

Disiarkan pada: August 4, 2018 @ 7:35pm
d