arena

FELCRA FC ikat Bos Gaurus di Ipoh

Oleh Azizan Hashim

 

PERAK gagal menggunakan kelebihan bermain di laman sendiri apabila terikat tanpa jaringan berdepan FELCRA FC di Stadium Perak, sebentar tadi.

Dalam saingan Piala Malaysia Kumpulan A itu, anak buah, Mehmet Durakovic cuba melakukan segala-galanya kecuali menyumbat gol diperlukan biarpun menentang lawan yang beraksi dengan 10 pemain dalam baki 10 minit permainan.

Perak melakukan serangan sebaik sepak mula dan memberikan tekanan hebat terhadap kubu lawan namun seperti biasa ketumpulan jentera serangan terus menghantui mereka biarpun Gilmar Jose  Da Silva, Mohd Nor Hakim Hassan berpeluang memecah kebuntuan.

Malah Jad Noureddine memiliki peluang terbuka meletakkan tuan rumah di depan tetapi menanduk keluar biarpun tidak dicabar pada minit ke-40.

Pelawat walaupun sekali sekala menyerang menerusi hantaran jauh namun gagal mencemaskan pintu gol Perak.

Perak meneruskan asakan pada babak kedua dan semakin tertekan apabila setiap usaha mereka menemui kegagalan.

FELCRA FC terpaksa meneruskan baki saingan dengan 10 pemain apabila Fandi Othman diperintah keluar padang selepas layangan kad kuning kedua pada m-82 tetapi tuan rumah gagal mengambil kesempatan itu.

Disiarkan pada: August 5, 2018 @ 12:01am
d