arena

Pep takut gagal punca kejayaan

Oleh AFP

MANCHESTER, England: Pep Guardiola mendedahkan perasaan bimbang kepada kegagalan menjadi pemacu kejayaannya di Barcelona, Bayern Munich dan sekarang bersama Manchester City yang akan menghadapi kempen musim baharu.

Pengendali berusia 47 tahun dari Catalan itu akan memulakan musim Liga Perdana Inggeris dengan sasaran untuk menjadi pengurus pertama selepas Alex Ferguson pada 2009, mengekalkan kejuaraan liga utama Inggeris itu.

Rekod berpihak kepada skuad kendalian Guardiola, dengan pengendali City itu pernah memenangi tiga gelaran berturut-turut di kelab sebelumnya, Barcelona dan Bayern Munich.

Namun pendedahan menarik mengenai apa yang menjadi pembakar semangat Guardiola, pasukannya akan berdepan juara Piala FA Chelsea pada aksi Perisai Komuniti malam ini, adalah bagaimana ketakutan untuk gagal, berbanding nikmat mengecapi kejayaan, menjadi pendorongnya.

“Saya bersedia, saya bersedia,” kata Guardiola mengenai kempen mempertahankan kejuaraan City.

“Daripada pandangan saya, pemain tidak perlu bimbang. Saya sedia terus berjuang.

“Ketakutan untuk tewas menjadikan saya sentiasa lapar. Saya tidak suka perasaan tewas dalam perlawanan.

“Ia tidak bagus untuk mana-mana pengurus di serata dunia jadi semua pengurus cuba untuk mengelak perasaan itu apabila anda tewas.

“Anda rasa bersalah, kesal, kehidupan peribadi anda terjejas, hubungan dengan pemain tidak baik, jadi bagi mengelak perkara itu, hanya dengan perasaan takutkan kegagalan, menjadikan anda bersemangat.”

Disiarkan pada: August 5, 2018 @ 8:45am
d