arena

Sikit lagi Alderweireld ke United

Oleh Agensi

LONDON: Manchester United semakin hampir untuk membeli tonggak pertahanan kental Tottenham Hotspur, Toby Alderweireld dengan anggaran £60 juta (RM318 juta) sebelum jendela perpindahan ditutup minggu depan.

Menerusi laporan media, United dijangka menyelesaikan isu perpindahan pemain berusia 29 tahun itu dalam tempoh 48 jam dengan rundingan akan menguntungkan kedua-dua pihak.

Alderweireld yang tampil cemerlang bersama skuad kebangsaan Belgium pada Piala Dunia di Russia bulan lalu hingga meraih tempat ketiga, antara sasaran utama pengurus Jose Mourinho musim ini.

Alderweireld, yang berbaki semusim kontraknya, menyertai Hotspur pada 2015 dan berjaya membantu kelabnya menamatkan kedudukan di tangga ketiga saingan Liga Perdana Inggeris musim lalu di belakang Manchester City dan United.

Sementara itu, difahamkan rundingan untuk mendapatkan bintang Barcelona, Yerry Mina menemui kegagalan ekoran yuran perpindahan yang ditetapkan terlalu tinggi.

Mourinho dikatakan berang dengan sikap ejen pemain Colombia itu, Felipe Russo yang sengaja menaikkan nilai Mina dengan yuran perpindahan dan bayaran ejen diasingkan.

Sebelum ini, pemain pertahanan itu mempamerkan prestasi cemerlang semasa memperkuatkan cabaran Colombia pada aksi Piala Dunia, bulan lalu.

Susulan itu, Mina mula menjadi buruan beberapa kelab termasuk United, Lyon dan Everton. Namun Mina dikatakan lebih berminat untuk berkelana ke England dengan memilih menyarung jersi Red Devils.

Disiarkan pada: August 5, 2018 @ 10:08am
d