arena

Cameroon tagih idea Seedorf, Kluivert

Oleh AFP

YAOUNDE: Clarence Seedorf dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan Cameroon dengan bekas rakan sepasukannya, Patrick Kluivert selaku pembantunya, kata Menteri Sukan Cameroon, Pierre Ismael Bidoung Mkpatt, semalam.

Dua bekas pemain AC Milan itu mengambil alih tugas daripada bekas pemain Belgium, Hugo Broos, yang meninggalkan pasukan musim lalu selepas gagal membantu skuad Singa Afrika itu layak ke Piala Dunia di Russia tahun ini.

Pencapaiannya selaku pemain cukup cemerlang apabila berjaya memenangi empat gelaran Liga Juara-Juara dan membuat 87 penampilan antarabangsa bersama Belanda.

Bagaimanapun, berdasarkan rekod Seedorf selaku pengendali, pencapaiannya tidak begitu memberangsangkan terutama ketika membimbing tiga kelab berbeza iaitu AC Milan (2014) di Serie A, Shenzen FC (2016) Liga Satu China sebelum ke Sepanyol bersama Deportivo La Coruna (2018).

Kluivert pula sebelum ini berkhidmat sebagai pembantu jurulatih termasuk dengan pasukan kebangsaan Belanda dan menghabiskan setahun sebagai pengarah bola sepak Paris Saint-Germain.

Cameroon akan menjadi tuan rumah Piala Negara Afrika 2019 Jun depan, yang mana mereka tampil selaku juara bertahan selepas memenanginya buat kali kelima tahun lalu.

Disiarkan pada: August 5, 2018 @ 10:54am
d