arena

Morbidelli hampir kejutkan Hafizh

Oleh Sukhairi Thani

KUALA LUMPUR: Hafizh Syahrin Abdullah terus mengungguli carta muka baharu MotoGP apabila meraih dua mata berharga di Grand Prix (GP) Republik Czech meskipun diberi tentangan sengit pencabar terdekatnya, Franco Morbidelli, sebentar tadi.

Pelumba Monster Yamaha Tech3 itu menamatkan 21 pusingan perlumbaan di Sirkit Brno di tempat ke-14 dengan catatan 41 minit 29.109 saat manakala Morbidelli (EG 0,0 Marc VDS) meraih tempat ke-13 yang menjamin tiga mata berharga.

Keputusan itu menyaksikan Morbidelli yang terlepas dua pusingan perlumbaan akibat kecederaan sebelum ini, hanya ketinggalan dua mata di belakang Hafizh tatkala saingan musim berbaki sembilan pusingan.

Pelumba Ducati, Andrea Dovizioso memenangi perlumbaan manakala rakan sepasukannya, Jorge Lorenzo berada di tangga kedua.

Melengkapkan pentas podium adalah juara dunia empat kali dalam kelas perdana, Marc Marquez manakala Valentino Rossi (Movistar Yamaha MotoGP) keempat.

Pusingan ke-11 musim ini dijadual berlangsung di GP Austria pada 12 Ogos ini.

 

Keputusan GP Republik Czech MotoGP

1. Andrea Dovizioso (ITA/Ducati) 41'07.728s

2. Jorge Lorenzo (SPA/Ducati) 41'07.906s

3. Marc Marquez (SPA/Repsol Honda) 41'08.096s

4. Valentino Rossi (ITA/Movistar Yamaha MotoGP) 41'10.630s

5. Cal Cruthlow (GBR/LCR Honda CASTROL) 41'10.686s

.... 14. Hafizh Syahrin Abdullah (MAL/Monster Yamaha Tech3) 41'29.109s

Disiarkan pada: August 5, 2018 @ 11:34pm
d