arena

Menang tapi pemain masih teruk - Guardiola

Oleh AFP

PEP Guardiola melaungkan amaran kepada pencabarnya di Liga Perdana Inggeris betapa Manchester City masih belum berada pada prestasi terbaik sekalipun menang 2-0 ke atas Chelsea pada aksi Perisai Komuniti, malam tadi.

Skuad kendalian pengurus dari Sepanyol itu melengkapkan perlawanan persahabatan pramusim berprestij di Wembley penuh bergaya dengan dua gol sumbangan penyerang Argentina, Sergio Aguero.

Selepas menjulang gelaran liga dengan memecah beberapa rekod musim lalu, Guardiola mendedahkan pemainnya masih belum berada di puncak prestasi selepas hanya mengharungi sesi latihan yang sedikit susulan rehat Piala Dunia.

“Kami berpuas hati, tapi kami masih jauh daripada keadaan fizikal terbaik. Pemain berada dalam keadaan yang amat teruk,” kata Guardiola.

“Kami tidak banyak menjalani latihan minggu ini. Kami mahu tiba dalam keadaan yang segar. Ia rumit bagi mereka tapi mereka amat kompetitif.

“Tidak mudah untuk bermain dalam tempoh yang amat singkat. Pujian terhadap mereka. Kami masih mempunyai masa beberapa hari dan berharap kami dapat meningkatkan tahap. Kini fokus terhadap Arsenal. Latihan pula? Dua kali sehari.”

Apa juga isu yang melanda City, penyandang juara itu nampak cukup bertenaga ketika menewaskan Chelsea dan pasukan itu merancang untuk mendapatkan seorang lagi pemain selepas berjaya memancing Riyad Mahrez ke Etihad.

“Kami cuba untuk mencari mungkin seorang pemain. Kami tidak memiliki pemain yang boleh menggantikan Fernandinho. Apabila kami mengambil keputusan, ia tidak bergantung kepada satu kemenangan atau kekalahan.”

Guardiola turut menghamburkan pujian terhadap Aguero yang muncul pemain pertama City menjaringkan 200 gol.

“Kami amat kagum apabila dia tiba bagi pramusim. Jarang dia memerlukan masa bagi mengembalikan keadaan fizikalnya. Dia datang dengan ketajaman, jadi ia bagus. Dia juga berasa bebas, jadi ia berita yang baik buat kami.”

Disiarkan pada: August 6, 2018 @ 8:51am
d