arena

Laungan semangat Leeds

Oleh Reuters

BEKAS jurulatih Argentina, Marcelo Bielsa menyaksikan pasukan barunya Leeds United membuka tirai kempen dengan kemenangan memberangsangkan 3-1 di laman sendiri ke atas kelab pilihan Liga Kejuaraan Inggeris, Stoke City, awal pagi tadi.

Bielsa, 63, yang melatih Argentina dari 1998 hingga 2004 dan mengikat kontrak dua tahun di Elland Road, Jun lalu dengan pilihan tambahan setahun lagi, kelihatan tenang di bangku pemain simpanan ketika pasukannya memulakan musim dengan bergaya.

Leeds, juara liga Inggeris tiga kali, mendahului apabila pemain tengah Poland, Mateusz Klich menewaskan Jack Butland dari jarak dekat manakala Pablo Hernandez menambah gol kedua sebelum rehat apabila sepakannya memperdayakan penjaga gol England itu di Elland Road.

Benik Afobe, seorang daripada pemain Stoke yang membuat penampilan sulung selepas tampil secara pinjaman dari Wolverhampton Wanderers, merapatkan jurang buat pelawat menerusi sepakan penalti selepas rehat apabila Barry Douglas mengasari Tom Ince, yang kecewa apabila percubaannya terkena palang pada babak pertama.

Namun pertahanan Scotland, Douglas menebus kesilapan apabila sepakan sudutnya ditanduk masuk kapten Liam Cooper untuk melengkapkan persembahan mengagumkan sekali gus memeningkan kepala bos baru Stoke, Gary Rowett.

Bielsa, yang mengurus kelab di Argentina, Sepanyol dan Perancis termasuk pasukan kebangsaan Chile, menggantikan Paul Heckingbottom, yang dipecat selepas Leeds berakhir di tangga ke-13 saingan divisyen dua itu.

Rowett, 44, dilantik sebagai pengurus Stoke, Mei lalu secara kontrak tiga tahun selepas Stoke bersetuju dengan pakej pampasan bersama Derby County, yang mana beliau kemudi hingga ke perlawanan playoff musim lalu.

Stoke memecat Mark Hughes, Januari lalu dan berpisah dengan penggantinya Paul Lambert selepas 10 tahun tempoh kelab Midlands itu di liga utama berakhir hujung musim lalu.

Disiarkan pada: August 6, 2018 @ 8:59am
d