arena

Gelaran Terbuka Washington kekal milik Zverev

Oleh AFP

ALEXANDER Zverev menegaskan kejayaan mempertahankan kejuaraan ATP Terbuka Washington menonjolkan kekuatan dan kematangannya tetapi pemain nombor tiga dunia itu mengakui masih ada jurang besar antaranya dengan Rafael Nadal dan Roger Federer.

Pemain Jerman berusia 21 tahun itu memenangi gelaran ketiganya tahun ini dan kesembilan sepanjang kariernya dengan menewaskan pemain remaja Australia, Alex De Minaur 6-2, 6-4 pada final edisi ke-50 kejohanan pemanas badan menjelang Terbuka Amerika Syarikat itu.

“Minggu yang menakjubkan buat saya,” kata Zverev. “Memenangi kejohanan pada ulang tahun ke-50 sesuatu yang menakjubkan. Ia sudah menjadi minggu yang istimewa untuk saya.

“Perasaannya cukup hebat (mempertahankan gelaran) dan ia menunjukkan kekuatan mental saya. Saya fikir ia juga membuktikan sedikit kematangan.”

Ketika Zverev berada di kedudukan teratas senarai pemain bintang muda, apa yang dicapainya jauh daripada kejayaan diraih pemenang 20 kali gelaran Grand Slam, Federer, 36, dan pemenang 17 kali Grand Slam Nadal, 32.

“Roger dan Rafa masih lagi pemain terbaik dan masih bersaing untuk merebut gelaran Grand Slam,” katanya.

“Saya tidak pernah menjuarai Grand Slam. Untuk berkata saya sudah berada di tahap mereka tidak adil.”

Kemenangan itu menyaksikan Zverev menyertai senarai pemenang dua kali berturut-turut di Washington termasuk pemain legenda Andre Agassi, Michael Chang dan Juan Martin del Potro.

De Minaur yang memenangi 11 mata daripada servis Zverev mengakui permainan lawannya itu menakjubkan.

“Dia mempamerkan permainan yang hebat. Dia bermain dengan cukup cemerlang dan terlalu bagus untuk saya,” kata De Minaur.

“Ia memberikan anda semangat untuk mengulangi kejayaan yang diperolehnya pada usia yang muda.

“Saya fikir dia akan berada di sini untuk masa yang cukup lama,” katanya yang beraksi final ATP kedua kariernya.

Disiarkan pada: August 6, 2018 @ 11:25am
d