arena

Kim Swee terus mencuba

Oleh Syafiq Aznan

BIARPUN tewas di tangan China, pengendali skuad bola sepak Bawah 23 tahun (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee nyata berpuas hati dengan persembahan anak buahnya.

Jelas Kim Swee, tempoh latihan selama seminggu sebelum ini menghasilkan perkembangan positif namun mengakui ada kelemahan ketara yang masih perlu diperbaiki.

“Saya rasa satu permainan yang baik untuk aksi pertama kami bermain bersama selepas Januari lalu. Selepas seminggu latihan, pemain nampak cukup baik pada babak pertama tapi kami gagal melakukan penyudah dengan baik.

“Babak kedua kami beri ruang kepada China dan mereka memanfaatkannya. Tapi secara keseluruhan banyak peningkatan dipamerkan.

“Apa pun, sudah tentu kami ada 10 hari lagi untuk persiapan sebelum aksi sulung Sukan Asia 2018 di Indonesia,” katanya.

Terdahulu, skuad B-23 perlu terus bekerja keras sekiranya berhasrat mara lebih jauh pada temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang yang akan berlangsung kurang dua minggu lagi.

Skuad itu kini hanya memiliki tempoh kira-kira 10 hari untuk menambah baik apa juga kelemahan selepas mereka tumbang 1-2 di tangan skuad B-23 China pada aksi persahabatan di Pusat Sukan Olimpik Changzhou, malam tadi.

Malaysia terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah apabila pemain sayap, Akhyar Rashid membuka tirai jaringan pada minit ke-14.

Bagaimanapun, kesilapan penjaga gol negara, Haziq Nadzli menjatuhkan Deng Hanwen mengundang padah apabila China dihadiahkan sepakan penalti yang mudah disempurnakan penyerang, Zhang Yuning pada minit ke-38 sebelum Chen Zhechao meledak gol kemenangan pada minit ke-53.

Pada Sukan Asia, Malaysia akan membuka kempen bertemu Kyrgyzstan pada 15 Ogos sebelum bertemu juara bertahan, Korea Selatan pada 17 Ogos di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung dan aksi terakhir menentang Bahrain pada 20 Ogos di Stadium Wibawa Mukti, Cikarang.

Disiarkan pada: August 6, 2018 @ 1:37pm
d