arena

Gundogan teruja capai rentak awal

Oleh AFP

LONDON: Pemain tengah Manchester City, Ilkay Gundogan terkejut apabila menyaksikan pasukannya pantas mendapat rentak untuk mengharungi musim baharu selepas menundukkan Chelsea 2-0 untuk merangkul Perisai Komuniti, semalam.

Anak buah Pep Guardiola itu akan membuka kempen mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Arsenal dan mahu meneruskan momentum apabila mereka berjaya menghimpun 100 mata dan mengatasi Manchester United dengan 19 mata musim lalu.

“Saya ingin tahu mengenai cara kami memulakan permainan dan bagaimana perlawanan itu akan berlangsung,” kata pemain tengah Jerman itu.

“Ia tidaklah begitu penting untuk memberi keyakinan namun apabila musim bermula dan mengharungi perlawanan penting, anda tidak tahu apa yang akan berlaku.

“Anda tidak pasti 100 peratus mengenai tahap anda ketika itu.

“Jadi ini adalah ujian yang bagus kepada kami sebelum memulakan aksi liga. Kami sudah bersedia sepenuhnya dan tidak sabar untuk membuka musim baharu.”

Guardiola tidak dapat menurunkan Kevin De Bruyne, David Silva dan Raheem Sterling pada aksi di Wembley itu selepas tiga pemain itu beraksi pada Piala Dunia.

Bagaimanapun, Sergio Aguero nyata bangkit daripada kekecewaan bersama Argentina di Piala Dunia apabila meledak dua gol sekali gus menyaksikan dia kini meledak 201 bersama pasukan terbabit.

“Kami sungguh bertuah kerana memiliki penyerang seperti Sergio dalam pasukan ini.

“Kami juga ada Gabriel Jesus yang memiliki kualiti yang baik. Saya gembira kerana pasukan ini ada dua penyerang yang hebat.”

Disiarkan pada: August 6, 2018 @ 8:23pm
d