arena

Satu tahun satu trofi Eropah

Oleh AFP

BARCELONA: Pemain baharu Barcelona, Arturo Vidal menyatakan dia selangkah lebih maju dalam kariernya dan kini mensasarkan untuk merangkul trofi Liga Juara Juara tiga kali sepanjang tiga tahun dia akan bersama pasukan itu.

Juara La Liga itu menandatangani pemain tengah berusia 31 tahun dari Bayern Munich dengan nilai mencecah 21 juta Euro (RM99 juta) dan diperkenalkan secara rasmi di Nou Camp, hari ini.

“Berada di sini adalah satu langkah yang lebih besar berbanding di Bayern,” kata Vidal.

“Saya mengharapkan kehadiran saya dapat membantu pasukan ini meraih trofi sebanyak mungkin. Dengan keyakinan yang diberikan, saya mahu memenangi semuanya.

“Ketika saya berusia 15 tahun, saya berjanji dengan ibu saya untuk menjadi antara pemain terbaik dunia. Saya beraksi dengan banyak pasukan dan kini saya berada dengan pasukan terbaik dunia.”

Vidal memenangi gelaran Serie A sebanyak empat kali bersama Juventus pada 2012 hingga 2015 dan merangkul trofi Bundesliga sepanjang tiga tahun bersama Bayern Munich namun tidak pernah mengecapi kejayaan di Eropah.

Kali terakhir Barcelona memenangi Liga Juara Juara adalah pada 2015 dengan menewaskan bekas pasukan Vidal, Juventus.

Real Madrid pula dua kali mengecewakan pemain Chile itu ketika dia masih beraksi bersama Bayern Munich.

“Saya tidak berdendam dengan sesiapa. Objektif saya adalah untuk memenangi Liga Juara Juara dan bukannya membalas dendam kepada Real Madrid.

“Saya harap dapat memenang tiga trofi Liga Juara Juara sepanjang tiga tahun saya di sini.”

Disiarkan pada: August 6, 2018 @ 11:10pm
d