arena

MU tak rela lepaskan Pogba

Oleh Agensi

EJEN Paul Pogba, Mino Raiola dikatakan sedang berusaha untuk melengkapkan perjanjian bagi membawa bintang Manchester United itu ke Barcelona.

Raiola dipercayai sudah membincangkan perincian bersama kelab gergasi Sepanyol itu untuk mendapatkan pemain tengah Perancis berkenaan yang sudah dua tahun di United sejak berpindah dari Juventus dengan nilai 89 juta pound (RM470.75 juta).

Pogba kembali menjalani latihan pramusim, semalam selepas menikmati cuti rehat Piala Dunia, dengan sumber rapat dengannya berkata dia terbuka untuk berpindah.

United menegaskan Pogba bukan untuk dijual dan dipercayai sudah menolak tawaran pembukaan daripada Barcelona berjumlah 44.6 juta pound (RM235.90 juta) ditambah dengan dua pemain - Yerry Mina dan Andre Gomes.

Kelab gergasi Inggeris itu jelas tidak bersedia melepaskan Pogba dengan sumber kepada pemain itu juga mengakui adalah sukar untuk perjanjian dilengkapkan sebelum jendela perpindahan ditutup, Khamis ini.

United juga dikatakan cukup sedar ia mungkin menjadi permainan ejen kepada bintang berkenaan dalam usaha memperbaiki kontrak sedia adanya bagi menyamai gaji 500,000 pound (RM2.6 juta) seminggu yang diperoleh Alexis Sanchez. 

Hubungan Pogba dengan pengurus, Jose Mourinho tegang pada musim lalu dengan media di Britain mendedahkan pengurus itu bersedia untuk menjualnya.

Ia ditambah dengan komen negatif Mourinho selepas kejayaan Pogba di Piala Dunia apabila mengatakan pemain itu sukar untuk meningkatkan fokus bersama kelab.

“Saya fikir Piala Dunia adalah tempat yang sempurna untuk pemain sepertinya untuk memberikan yang terbaik. Mengapa? Kerana ia berakhir selepas sebulan, di mana dia hanya boleh berfikir mengenai bola sepak saja,” kata Mourinho.

Secara teori, Barca mempunyai tempoh sehingga hujung bulan ini untuk memikat Pogba sebelum jendela perpindahan pemain di Sepanyol ditutup.

Namun, ia akan memberikan masalah buat United bagi mencari pengganti dengan gandingannya di bahagian tengah Nemanja Matic sedang menjalani proses pemulihan susulan kecederaan.

Disiarkan pada: August 7, 2018 @ 12:19pm
d