arena

Zuhair teruja dapat beraksi

Oleh Asrol Awang

PEMAIN muda Pahang, Zuhair Aizat Mohd Nazri kini cukup teruja apabila diberikan peluang beraksi buat pertama kalinya dalam kempen Piala Malaysia dan menaruh harapan agar diberikan sekali lagi peluang membuktikan kemampuan ketika berdepan Selangor dalam aksi kedua. 

Bekas pemain skuad Piala Presiden Pahang itu mengakui peluang serta pendedahan yang diberi pengendali skuad Tok Gajah, Dollah Salleh itu akan dimanfaatkan untuk mempamer prestasi terbaik bagi membantu pasukan dalam kempen kali ini. 

"Saya berterima kasih kepada jurulatih kerana memberi peluang dan kepercayaan bermain bersama rakan yang lebih berpengalaman.

"Kepercayaan yang diberikan itu adalah satu motivasi tambahan untuk mempamerkan kebolehan dan bakat yang ada dalam saingan piala berprestij ini.

"Saya tidak jangka diturunkan ketika bertemu Sabah Sabtu lalu, walaupun sebagai pemain gantian kerana Piala Malaysia adalah pentas terbaik untuk meningkatkan prestasi," kata pemain berumur 22 tahun itu.

Musim ini, selain Zuhair Aizat, Dollah turut memberi kepercayaan kepada seorang lagi pemain muda, Shahrul Nizam Mohd Nadzir untuk memperkasakan jentera tengah.

Jadi,  Zuhair Aizat yang meraih pengalaman kali pertama beraksi dalam Piala Malaysia yakin, peluang itu akan membantu mematangkan diri untuk berdepan dengan pemain lebih berpengalaman.

"Musim ini, ini kali ketiga saya diturunkan termasuk dua aksi  Liga Super dan sebagai pemain muda saya teruja dan bersedia membantu pasukan meraih kejayaan dalam Piala Malaysia," katanya.

Pemain kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu menegaskan, keputusan seri 1-1 dengan Sabah pada aksi pembukaan piala berprestij berkenaan tidak melunturkan semangat pemain skuad Tok Gajah untuk merekodkan kemenangan pada perlawanan kedua menentang Selangor.

Katanya, biarpun Selangor turut mengidamkan tiga mata, skuad Pahang akan memastikan misi kemenangan tercapai.

"Sebagai pemain muda, saya sentiasa sedia untuk diturunkan selaku kesebelasan utama atau gantian kerana misi utama kami adalah menang ke atas Selangor, Sabtu ini," katanya.

Disiarkan pada: August 7, 2018 @ 3:08pm
d