arena

'Saya belum sedia diturunkan...'

Oleh Rodly Fadly

HARAPAN jurulatih Perak, Mehmet Durakovic untuk menggunakan khidmat Amirul Azhan Aznan apabila berdepan Terengganu FC dalam aksi kedua Piala Malaysia, Kumpulan A, Sabtu ini mungkin tidak kesampaian kerana pemain itu masih dibelenggu kecederaan.

Ia diakui sendiri oleh Azhan yang secara jujur mendedahkan belum pulih serta tidak bersedia untuk diturunkan kerana tidak yakin mampu memberi persembahan terbaik.

“Paha kiri saya masih terasa ngilu apabila membuat larian serta tendangan. Buat masa ini saya menjalani rawatan fisioterapi dan latihan kecergasan di gimnasium.

“Saya tidak pasti bila akan pulih sepenuhnya tapi untuk perlawanan menentang Terengganu Sabtu ini, saya tidak fikir dapat bermain kerana tahap kecergasan pun belum mencapai tahap 100 peratus.

“Selain enggan mengambil risiko kecederaan berulang, saya bimbang tidak mampu memberi persembahan seperti diharapkan jurulatih. 

“Tapi, jika beliau tetap mahu saya bermain, saya akan akur dan cuba sedaya upaya untuk membantu pasukan,” katanya.

Semalam, pengendali The Bos Gaurus itu menyatakan harapannya agar Azhan dan seorang lagi pemain pertahanan, Shahrul Saad yang turut mengalami kecederaan sempat pulih dan cergas untuk berdepan Terengganu.

Azhan mengalami kecederaan hamstring pada aksi menentang Johor Darul Ta’zim pada 10 Julai lalu menyebabkan dia diketepikan dalam lima perlawanan selepas itu termasuk perlawanan sulung Piala Malaysia menentang FELCRA FC, hujung minggu lalu.

Ketiadaan bek kiri itu jelas menjejaskan kekuatan benteng Perak terutama apabila dikalahkan 1-4 oleh PKNS FC pada perlawanan terakhir Liga Super yang lalu. 

Perak kini berkongsi mata dengan FELCRA selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0, manakala Terengganu mengungguli carta Kumpulan A Piala Malaysia selepas membelasah Kuala Lumpur 5-1, Sabtu lalu.

“Berdasarkan keputusan itu, terbukti Terengganu memiliki jentera serangan yang hebat. Tapi, saya yakin, tanpa saya sekali pun, jurulatih sudah mempunyai perancangan untuk menyekat pasukan itu, apatah lagi kami akan bermain di gelanggang sendiri,” ujar Azhan.

Disiarkan pada: August 7, 2018 @ 5:07pm
d