arena

Skuad B-16 jumpa Indonesia

Oleh Aziman Rosdi

KUALA LUMPUR: Skuad bawah 16 tahun negara (B-16) terpaksa berhempas pulas sebelum menewaskan Laos 1-0 untuk menempah pertemuan dengan pasukan tuan rumah Indonesia dalam aksi separuh akhir yang dijangka ‘panas’ pada Khamis ini.

Pada aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Gelora Joko Samudro, Surabaya hari ini, Malaysia terpaksa mengharapkan gol sendiri pemain Laos Anoulack Vannalath pada minit ke-4 untuk mara selaku naib juara kumpulan selepas mengumpul sembilan mata, ketinggalan satu mata dengan pendahulu Thailand.

Skuad kendalian Raja Azlan Shah Raja Sho’ib itu menguasai sepenuhnya permainan namun bahagian serangan yang agak tumpul menyaksikan beberapa gerakan ke kubu lawan mudah dipatahkan.

Aksi bertambah mendebarkan pada 10 minit terakhir selepas Malaysia kehilangan seorang pemain, Mohd Fahmi Daniel yang dilayangkan kad merah.

Kemenangan ke atas Laos adalah yang ketiga berturut-turut dilakar anak buah Raja Azlan dalam kempen Kumpulan B selepas menewaskan Brunei 6-1 dan Singapura 4-0 untuk bangkit susulan kekalahan 1-2 di tangan Thailand pada aksi pembukaan.

Bagaimanapun cabaran lebih perit dijangka bakal dilalui skuad negara apabila berdepan juara Kumpulan A, Indonesia di Stadium Gelora Delta Sidoarjo pada separuh akhir.

Layanan ‘panas’ bakal mereka hadapi di depan ribuan penyokong Indonesia susulan insiden penyokong tuan rumah melaungkan kata-kata kesat ‘Malaysia itu anjing’ dan juga ‘Amirul itu anjing’ ketika skuad negara turun beraksi menentang Thailand pada 30 Julai lalu.

Tindakan penyokong Indonesia itu tercetus gara-gara pemain muda negara, Amirul Ashrafiq Hanifah dituduh menghina bendera Indonesia apabila meletakkan bendera terbalik dalam Instagram Story miliknya ketika membuat ucapan ringkas sebelum berlepas ke Surabaya.

Namun, Amirul sudah menyatakan permohonan maaf secara terbuka dan menjelaskan ia bukan provokasi sebaliknya hanya kesilapan meletakkan bendera Poland.

Berikutan insiden itu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah menghantar surat bantahan kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan AFF supaya tindakan tegas diambil.

Malaysia memburu kejuaraan kedua selepas merangkul gelaran pada 2013 di Myanmar dengan menewaskan Indonesia menerusi sepakan penalti 3-2 apabila permainan sebenar terikat 1-1.

Disiarkan pada: August 7, 2018 @ 7:33pm
d