arena

Mercedes tubuh pasukan e-sports

Oleh Reuters

LONDON: Pasukan Formula Satu (F1) Mercedes melancarkan program e-sports mereka yang menyaksikan juara British, Brendon Leigh akan beraksi untuk mereka bagi berlumba dalam dunia maya.

Leigh yang juga juara kejohanan e-sports F1 buat kali pertama tahun lalu pada usia 18 tahun akan menjadi seorang daripada pelumba yang akan mewakili pasukan e-sports Mercedes-AMG Petronas.

Bekas pekerja dapur dari Reading yang tidak pernah meninggalkan Britain sehinggalah terbang ke Abu Dhabi dan memenangi pertandingan terbabit akan disertai rakan senegarany, Harry Jacks, Patryk Krutyj (Poland) dan juga Dani Bereznay (Hungary).

Jacks, 24, adalah finalis pada pertandingan ‘Pemain Terpantas Dunia McLaren’ pada tahun lalu.

Krutyj, 22, pula adalah juara empat kali Liga Poland sementara Bereznay, 18, dipilih menerusi Draf Profesional E-Sports F1 2018.

Mercedes menyatakan pasukan e-sports itu akan berpangkalan di ibu pejabatnya di Brackley dan akan menggunakan pusat latihan yang dibina khusus untuk e-sports.

Pembinaan pusat latihan yang dibina di bangunan yang turut menempatkan simulator bagi pelumba F1 itu dijangka akan dimulakan dalam masa beberapa minggu lalu.

“Program terbabit turut memfokuskan kepada persembahan pemain dan juga memberi kebenaran kepada ahli pasukan e-sports ke Pusat Prestasi yang merangkumi teras utama seperti nutrisi, keadaan fizikal dan kesihatan mereka,” kata Mercedes.

Siri e-sports F1 2018 yang menggunakan permainan rasmi F1 akan berlangsung pada Oktober dan November membabitkan semua pasukan F1 kecuali Ferrari.

Tiga acara secara langsung akan menentukan pemandu dan pasukan yang akan merangkul kejuaraan di dunia maya membabitkan hadiah sekurang-kurang AS$200,000 (RM814,000).

Disiarkan pada: August 7, 2018 @ 10:04pm
d