arena

Tiga tahun untuk Vydra di Burnley

Oleh AFP

BURNLEY menandatangani kontrak penyerang Republik Czech, Matej Vydra dari kelab divisyen dua, Derby dengan perjanjian tiga tahun, umum kelab Liga Perdana Inggeris itu, hari ini.

Pemain berusia 26 tahun itu, yang mengungguli carta penjaring terbanyak Liga Kejuaraan dengan 21 gol musim lalu berharap dapat mencetus lebih impak selepas mengharungi kegagalan ketika bersama Watford dan West Brom di liga utama berkenaan.

Burnley yang memperoleh khidmat pertahanan tengah, Ben Gibson dari Middlesbrough dan bekas penjaga gol Manchester City, Joe Hart tidak mendedahkan jumlah yang dibayar untuk mendapatkan Vydra.

“Saya fikir lima tahun lalu saya seperti budak kecil di Liga Perdana. Kini saya rasa saya mempunyai lebih pengalaman dalam bola sepak Inggeris,” kata Vydra. 

“Saya bertutur dalam bahasa Inggeris dengan lebih baik dan banyak yang saya pelajari di England, jadi saya berharap saya adalah pemain yang lebih baik berbanding lima tahun lalu.

“Sejak empat tahun lalu, saya berjuang untuk berada di Liga Perdana.

“Saya tidak melakukannya dengan pasukan yang saya sertai dan kadang kala ia memerlukan perpindahan dan kini saya gembira,” kata Vydra yang memiliki 20 penampilan bersama skuad kebangsaan Republik Czech.

Burnley yang dikendalikan Sean Dyche akan bertemu Istanbul Basaksehir di Turki, esok bagi aksi kelayakan Liga Europa sebelum memulakan kempen Liga Perdana menentang Southampton, pada Ahad.

Disiarkan pada: August 8, 2018 @ 9:57am
d