arena

Maradona 'sentap' disisih jadi jurulatih

Oleh Agensi

LEGENDA Argentina Diego Maradona meluahkan rasa terkejut selepas namanya tidak disenarai pendek sebagai pengganti berpotensi kepada jurulatih, Jorge Sampaoli.

Skuad dengan julukan Albiceleste itu sedang meneliti senarai jurulatih baharu selepas mengharungi aksi longlai di Piala Dunia 2018 apabila pasukan yang memperoleh inspirasi Lionel Messi itu gagal melepasi peringkat 16 terbaik.

Beberapa nama dikaitkan, antaranya pengurus Manchester City, Pep Guardiola tetapi ia tampak mustahil berikutan kos yang dikatakan melambung tinggi tetapi ikon negara itu, Maradona tiada dalam senarai.

Pemenang Piala Dunia 1986 itu pernah melatih skuad kebangsaan dan membawa mereka ke pusingan akhir Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan sebelum tersungkur di suku akhir kepada Jerman.

Sedang memegang jawatan sebagai pengerusi kelab Belarus, Dynamo Brest, Maradona mengakui kecewa apabila dia langsung tidak dipandang oleh wartawan dan pegawai di Argentina sekali pun pernah meluahkan hasrat untuk memikul tugas berkenaan tanpa gaji.

“Dengan rasa hormat kepada pasukan kebangsaan Argentina, saya mahu berkata yang saya terganggu apabila sesetengah wartawan tidak meletakkan saya sebagai jurulatih berpotensi,” kata Maradona dalam laman Instagram.

“Sebagai contoh, saya mendengar daripada Chavo Fucks (wartawan Argentina) dan dia langsung tidak menamakan saya sebagai calon berpotensi. 

“Saya masih mengingati ketika dia baru memulakan kerja, apabila saya masih bermain dan sekarang nampaknya dia sudah tidak mengenali saya lagi.

“Saya juga kecewa apabila tidak dipandang oleh akhbar Argentina, yang bercakap mengenai bekas jurulatih lain tetapi bukan saya. Tetapi itulah wartawan sukan yang Argentina miliki.”

Sepanjang memegang jawatan sebagai jurulatih Argentina, Maradona membimbing pasukan itu mengharungi 19 perlawanan dan memenangi 15 daripadanya sebelum tewas besar 0-4 kepada Argentina yang menyaksikan kontraknya tidak diperbaharui. - Agensi

 

 

Disiarkan pada: August 8, 2018 @ 11:00am
d